IPOH: Kegiatan sindiket dadah menjadikan dua rumah di Pantai Remis, Manjung sebagai makmal memproses dan membungkus pil ekstasi terbongkar selepas diserbu polis yang membawa kepada rampasan dadah bernilai RM5.5 juta.
Serbuan Sabtu lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu merampas pelbagai jenis dadah seberat 79.6 kilogram.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 7 pagi di sebuah taman perumahan di Pantai Remis, seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia 32 hingga 39 tahun ditahan.
Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 245 biji pil ekstasi anggaran berat 100 gram dan 1.2kg serbuk disyaki dadah jenis ekstasi ditemukan.
“Turut dirampas di rumah terbabit bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah.
“Ekoran tangkapan itu, satu serbuan susulan dilakukan di Panchor, Pantai Remis pada pukul 3.30 petang di mana 11,838 biji pil ekstasi dengan anggaran berat 5.6kg dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemukan 38.3kg serbuk disyaki dadah jenis ekstasi, 31.3kg cecair disyaki ekstasi, 2kg daun-daun kering disyaki ganja, ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 844 gram dan dadah disyaki heroin anggaran 162 gram.
Katanya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita tiga kenderaan sebuah Ford Mustang, Toyota Alphard dan Toyota Triton, seutas rantai dan sebentuk cincin dianggarkan RM763,693. – UTUSAN










