Petronas teruskan kerja cari gali

Petronas teruskan kerja cari gali

Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan yang dibangkitkan wakil-wakil rakyat dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Parlimen, semalam. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan meneruskan kerja-kerja cari gali minyak di Laut China Selatan kerana beranggapan ia dalam kawasan negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bagaimanapun terbuka untuk berunding dengan China yang turut mendakwa kawasan itu adalah wilayah negara itu.

Katanya, beliau menyatakan perkara itu semasa lawatan ke Beijing, baru-baru ini ketika bertemu Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

“Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak di Laut China Selatan terutama kebimbangan China, dan kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

“Saya nyatakan sendiri kepada Presiden dan Perdana Menteri China, bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan te­ruskan cari gali di kawasan itu.

“Bagaimanapun, jika China merasakan ini hak mereka, kerajaan boleh buka untuk rundi­ngan,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sekiranya Perdana Menteri ada berbincang dengan pemimpin China mengenai keselamatan di rantau ini terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan.

Selain itu, katanya, beliau tidak mahu mengelak untuk meneruskan rundingan kerana adalah pendirian ASEAN supaya semua tuntutan bertindih di­selesaikan secara rundingan.

“Mengenai kehadiran kapal di Laut China Selatan diterangkan oleh China, ini di perairan antarabangsa tetapi Kementerian Luar akan terus memantau dan jika ada pelanggaran, kerajaan akan mengeluarkan bantahan,” katanya.

Mengulas Perjanjian Kese­la­matan Tiga Hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS), yang turut bercadang membangunkan kapal selam berkuasa nuklear, kata Anwar, rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese sudah menghubunginya dan menghantar wakil khas bagi menjelaskan mengenai perkara itu.

“Pendirian Malaysia dan ASEAN adalah tidak menyokong apa saja usaha yang boleh mening­katkan ketegangan, terutama bidang ketenteraan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN