PETALING JAYA: Kejayaan Malaysia membawa pulang pelaburan daripada China bernilai RM170 bilion merupakan ‘jarum’ yang bakal memberi suntikan positif kepada ekonomi dan pembangunan negara.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latif berkata, pelaburan asing merupakan salah satu komponen dan memainkan peranan penting untuk pembangunan ekonomi serta negara.
Menurut beliau, komitmen daripada China melalui nilai pelaburan tersebut akan menyebabkan ‘limpahan’ ekonomi iaitu komponen-komponen lain dalam negara juga akan mengalami impak positif.
“Sebagai contoh, peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan lebih, tingkat teknologi negara dapat diperbaiki dan barangan serta perkhidmatan boleh disediakan dengan lebih baik kepada pengguna.
“Apabila semua perkara tersebut mengalami peningkatan, negara juga akan menyaksikan kemahiran tenaga kerja turut meningkat iaitu selaras dengan kehendak industri yang mengalami perubahan disebabkan pelaburan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pelaburan bernilai besar tersebut adalah daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat perniagaan dari China dan Malaysia.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu menunjukkan pelabur daripada negara berkenaan yakin terhadap Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, penambahan pelaburan daripada China selaku antara pelabur utama negara bukan sahaja menandakan kebolehupayaan ekonomi negara berkembang tetapi juga hubungan perniagaan antara dua negara semakin erat.
Walau bagaimanapun, katanya, jenis pelaburan tersebut perlu diperjelaskan supaya ia benar-benar menguntungkan rakyat dan negara, bukan yang boleh ‘mengikis’ aset seperti tanah.
“Biar jenis pelaburan yang masuk menguntungkan rakyat. Sebagai contoh, pelaburan berbentuk digital, pemindahan teknologi dan kerjasama dua negara untuk berinovasi atau mencipta produk baharu,” katanya. – UTUSAN










