PBT Selangor perlu sedia tapak khas busker bekas atlet buta - Utusan Malaysia

PBT Selangor perlu sedia tapak khas busker bekas atlet buta

Busker
MOHD. KHAIRUDDIN Othman bersama semua bekas atlet dan atlet para pada program itu di Dewan MPKS Saujana Utama, Kuala Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor disaran menyediakan tapak khas kepada bekas atlet para negeri itu yang menjadi pemuzik jalanan atau busker.

Cadangan tapak itu melibatkan lokasi tumpuan umum antaranya di kawasan pusat beli belah dan bazar larut malam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pihaknya menerima rungutan daripada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) mengenai isu ketiadaan tapak yang digazetkan bagi aktiviti muzik jalanan bagi bekas atlet cacat penglihatan.

“Perbincangan sudah dilakukan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) setakat ini. Tiga PBT itu yang banyak membantu kerajaan negeri dalam menyediakan platform khas mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Justeru, semua PBT lain di negeri ini diminta turut bekerjasama menyediakan tapak khusus kepada bekas atlet buta yang menjadi busker mencari rezeki,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Menghargai Jasa Atlet, malam tadi.

Pada program itu, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan Aidilfitri kepada 150 bekas atlet dan atlet para di bawah Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan MAB.

Beliau menambah, pihaknya menyifatkan isu ketiadaan lokasi khusus kepada golongan itu perlu diselesaikan tanpa karenah birokrasi.

“Mereka cenderung bermain muzik di jalanan kerana bukan saja mahu menyerlahkan bakat malah menambah pendapatan, PBT hanya perlu menyediakan tapak manakala dari segi keperluan serta kos lain akan diuruskan kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya