Mohon maaf, pesan jaga anak-anak - Utusan Malaysia

Mohon maaf, pesan jaga anak-anak

Rumah di Kampung Beris Panchor, Bachok tempat ibu masih dalam pantang ditemui mati dengan pisau tertusuk di leher petang kelmarin. – UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Seorang wanita dalam pantang menghubungi suami­nya memohon maaf sebelum dia kemudian ditemui mati de­ngan kesan pisau tertusuk di leher di Kampung Beris Panchor di sini kelmarin.

Suami mangsa, Mohamad Muhaimi Mustafa, 37, yang bekerja di Kedah berkata, Nor Idayu Wan Mahadi, 37, menghubunginya pukul 5.30 petang hari kejadian.

Ketika menghubunginya, Nor Idayu turut meminta dia menjaga semua empat anak lelaki mereka termasuk anak yang berusia 37 hari.

Menurutnya, sebelum itu, arwah mengadu ada masalah kurang tidur selain tidak berselera makan selepas melahirkan anak keempat mereka.

“Saya menenangkan perasa­an arwah dengan menasihatkan supaya menjaga makan dan tidur. Kami berbual seperti biasa, namun dia tiba-tiba meminta maaf kepada saya dan pesan agar menjaga kesemua anak kami.

“Ketika itu, saya hanya mengesyaki Nor Idayu mengalami tekanan dan gangguan perasan selepas melahirkan anak. Sepanjang tempoh berjauhan sejak sebulan lalu, saya sering menghubunginya untuk memberi galakan agar dia makan ubat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

PANGGILAN

Bagaimanapun, Mohamad Muhaimi memberitahu, selepas habis perbualan dengan isterinya, dia menerima panggilan telefon daripada ibu mentuanya yang memaklumkan Nor Idayu sudah meninggal dunia dengan kesan tikaman pisau pemotong sayur pada leher.
Katanya, dia terkejut kerana mereka berdua tiada masalah atau bergaduh sepanjang tempoh isterinya itu berpantang.

“Saya mengesyaki fikiran Nor Idayu terganggu semasa tempoh pantang. Saya sepatutnya pulang ke Bachok hari ini (semalam) untuk membawanya membuat terapi di hospital.

“Selepas menerima berita buruk itu, saya bersama tiga orang anak berusia lapan hingga 13 tahun terus pulang ke kampung dari Jitra tengah malam tadi (kelmarin),” ceritanya.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Wan Muhamad Nasri Wan Mahadi, 23, berkata, dia menyedari kejadian itu pukul 6 petang selepas kakaknya mengunci pintu bilik dari dalam.

Menurutnya, dia terus me­ngambil tangga untuk melihat kakaknya di dalam bilik sebelum terkejut apabila ternampak wanita tersebut berlumuran darah.

“Ketika itu, ibu saya mendukung anak kakak yang baru berusia 36 hari. Kami berdua terkejut apabila melihat keada­an kakak yang sudah berlumuran darah dengan sebilah pisau tertusuk pada lehernya,” kata­nya.

Sementara itu, ibu mang­sa, Zuraizah Mat, 58, berkata, dia sempat melihat mangsa mengambil pisau pemotong sayur dan masuk ke dalam biliknya sebelum anaknya ditemui tidak bernyawa.

“Selepas bercakap dengan suami, dia keluar mengambil pisau dan masuk semula ke dalam bilik sebelum tiba-tiba senyap. Saya hairan dengan situasi itu sebelum meminta Wan Muhamad Nasri memeriksa keadaan kakaknya.

“Selepas pintu bilik dipecah, saya terus mencabut pisau sepanjang 16 sentimeter yang melekat di lehernya sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Beris di sini. Kebetulan pula, kereta peronda polis lalu di hadapan rumah ketika itu,” katanya.

Jenazah Nor Idayu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong di sini kira-kira pukul 7 pagi malam kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN