PUTRAJAYA: Kehadiran kapal peronda China di Laut China Selatan di kawasan berhampiran Lapangan Gas Kasawari adalah taktik negara berkenaan untuk membayangi dan mendekati lokasi tempat cari gali minyak terbesar milik Petronas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, kawasan cari gali minyak itu terletak di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) iaitu 200 batu nautika daripada pantai Sarawak yang dibenarkan mengikut perundangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Beliau berkata, mengikut perundangan antarabangsa itu, Malaysia diberi kebenaran dan mempunyai hak untuk mentadbirnya termasuk diizinkan mendapatkan bahan mentah seperti minyak untuk mencari gali seterusnya mendapatkan hasil minyak itu.
“Perkara itu memang tiada persoalan dalam perundangan antrabangsa UNCLOS. Sememangnya itu memang taktik China (kehadiran kapal peronda).
“China tidak akan berbuat apa-apa tetapi membayangi dan mendekati kawasan berkenaan, selagi dia tidak usik, maka tidak mengapa kerana kawasan EEZ itu adalah kawasan perairan antarabangsa yang dibenarkan,” katanya di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persidangan Dewan Rakyat kelmarin memberitahu, Petronas akan meneruskan kerja-kerja cari gali minyak di Laut China Selatan kerana beranggapan ia dalam kawasan negara ini.
Malaysia bagaimanapun terbuka untuk berunding dengan China yang turut mendakwa kawasan itu adalah wilayah negara itu dan perkara tersebut ada dibangkitkan semasa lawatan ke Beijing, baru-baru ini ketika bertemu Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang.
Mengenai kehadiran kapal di Laut China Selatan, Anwar berkata, sebagaimana diterangkan oleh China, ini di perairan antarabangsa tetapi Kementerian Luar akan terus memantau dan jika ada pelanggaran, kerajaan akan mengeluarkan bantahan.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, taktik sama China juga diguna pakai melalui kehadiran kapal mereka itu atas tuntutan mereka terhadap ‘Nine Dash Line’ yang dicipta Beijing dan didakwa sebagai menunjukkan hak negara itu terhadap Laut China Selatan.
Sedangkan, kata beliau, tuntutan berkenaan sama sekali tidak logik kerana jika diikutkan lokasi paling dekat adalah Pulau Hainan iaitu pulau tanah besar China, namun jaraknya sangat jauh iaitu lebih kurang 1,800 kilometer berbanding Sarawak tidak sampai 150 kilometer sahaja.
Dalam hal ini, beliau berkata, situasi kehadiran kapal itu juga bukan kali pertama berlaku dan insiden sama terjadi pada Januari 2020 apabila kapal peronda laut China, Coast Guard mendekati kapal carigali West Capella yang disewa khas Petronas selama lebih sebulan. – UTUSAN










