KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini di peringkat pembelaan.
Peguam Hamidi Mohd. Noh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, representasi melebihi 200 muka surat dihantar terus kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi oleh Timbalan Perdana Menteri digugurkan.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon penangguhan terhadap 16 tarikh perbicaraan yang telah dijadualkan sebelum ini sementara menunggu Peguam Negara memberi maklum balas terhadap representasi tersebut.
Hakim bicara Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan kemudian melapangkan tarikh-tarikh perbicaran sepanjang bulan ini hingga Julai.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos ini bagi menyambung perbicaraan atau memaklumkan sebarang keputusan berhubung representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan beliau mendapat arahan daripada Peguam Negara agar tidak membantah terhadap permohonan penangguhan oleh pihak pembelaan. Semalam sepatutnya ditetapkan untuk sebutan kes.
Beliau mengesahkan, pihak pendakwaan memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi panjang lebar melebihi 200 muka surat yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan.
Abdul Malik berkata, dokumen mengandungi beberapa peringkat itu pertama kali dihantar kepada Peguam Negara pada Januari lalu dan selanjutnya pada akhir Februari lalu.
Menurut beliau, representasi itu turut disertai surat bertarikh 20 Februari lalu daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Sehubungan itu, Abdul Malik berkata, pihaknya memerlukan masa yang mencukupi bagi mencapai kata putus terhadap representasi sementara menunggu hasil siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak SPRM.
“AGC memerlukan hasil siasatan lanjut SPRM dan sebarang keputusan representasi tertakluk kepada maklum balas siasatan,” jelas Abdul Malik.
Ketika ditanya oleh Hakim Collin tempoh masa yang diperlukan bagi SPRM untuk menjalankan siasatan, Abdul Malik menyatakan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Abdul Malik yang hadir bersama-sama ketua pasukan pendakwaan, Datuk Raja Rozela Raja Toran turut memberi jaminan akan memaklumkan kepada mahkamah jika keputusan representasi dikeluarkan oleh Peguam Negara sebelum tarikh perbicaran Ogos kelak.
Antara peguam yang hadir pada prosiding semalam termasuk Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.
Ketika prosiding pada 22 November 2022, mahkamah sepatutnya mendengar sesi soal balas saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid, 70, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.
Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.
Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018. – UTUSAN










