KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 31 Mei ini bagi keputusan representasi kedua pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel untuk menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.
Hakim N. Priscilla turut menetapkan perbicaraan didengar pada 1 dan 2 Jun jika representasi itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Semalam sepatutnya ditetapkan bagi sebutan untuk pemfailan pernyataan saksi.
Pada 20 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan representasi pertama Rizal ditolak oleh AGC dan tertuduh akan memfailkan representasi kedua atas isu yang sama.
Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memberitahu, pihaknya menerima surat representasi kedua semalam dan memohon tempoh sebulan untuk membawa representasi itu kepada pihak atasan.
Menurut beliau, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen tambahan kepada pembelaan pada tarikh lain kerana pegawai penyiasat tidak hadir atas alasan isterinya tidak sihat.
Sementara itu, peguam M. Pravin memaklumkan, representasi kedua yang baru diserahkan semalam mengandungi perkembangan baharu yang sangat penting dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon tarikh perbicaraan ditangguhkan sehingga Jun sementara menunggu keputusan representasi. – UTUSAN










