Kalau benci sangat, tolong lepaskan saya cara baik – Pachara

Kalau benci sangat, tolong lepaskan saya cara baik – Pachara

Pachara Apin pada prosiding tuntutan permohonan fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon, Afiq Muiz, Nur Aira Mahadeya kecewa apabila suaminya sengaja melengah-lengahkan prosi­ding pen­dengaran permohonan tun­­tutan cerai secara fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini semalam.

Nur Aira atau Pachara Apin, 32, berkata, Afiq selaku defendan mendakwa dirinya tidak menerima sebarang maklumat berhubung prosiding pertama yang didengar di depan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, 29 Mac lalu.

Jelasnya, dia dan peguam mempunyai bukti panggilan dan salinan mesej yang dihantar kepada defendan sebelum ini.

“Saya rasa dia sengaja nak melambat-lambatkan kes. Sedangkan peguam saya ada bukti mesej mengenai makluman kes ini yang telah dihantar kepadanya tetapi tiada respons,” katanya.

Selepas pelbagai fitnah dilemparkan terhadap dirinya sebelum ini, Pachara mempertikaikan tindakan suaminya yang masih enggan menceraikan dirinya.

Katanya, Afiq juga pernah mendera mental dan fizikalnya sehingga menyebabkan dia tidak sanggup meneruskan kehidupan sebagai pasangan suami dan isteri.

“Dia mengata saya selaku isterinya sendiri dengan pelbagai tuduhan secara terang-terangan serta memalukan saya dalam media.

“Kalau dia benci sangat atau kerana sikap saya terlalu teruk, tolong lepaskan saya secara baik. Carilah isteri yang lebih baik dan boleh tahan dengan perkara yang dia lakukan kepada saya,” luahnya.

Sementara itu, Peguam Syarie, Suriati Ab. Ghani mengesahkan pihaknya sudah memaklumkan kepada defendan lebih awal mengenai prosiding tersebut.

Katanya, pihaknya juga menemui jalan buntu selepas defendan menjawab panggilan dan meminta cari dirinya tanpa memaklumkan lokasi sebenar.

“Dari awal kita failkan kes cerai secara baik. Kita sudah hubungi defendan dan dia jawab panggilan masa itu, tetapi beritahu suruh cari dia sendiri.

“Ini jelas menyusahkan pihak kami untuk mencari lokasi keberadaan dirinya. Jadi, sememangnya dia sendiri sudah tahu mengenai kes ini,” katanya.

Suriati berkata, dia juga musykil dengan tindakan defendan yang berjanji untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

“Sebelum masuk prosiding di kamar mahkamah hari ini, peguam defendan beritahu hendak selesaikan cara baik dan boleh lafaz cerai.

“Namun, bila masuk kamar cakap lain pula. Jadi, kes terpaksa berpatah balik semula dan perlu masuk pembelaan.

“Pada 15 Jun nanti, Pachara akan memberikan keterangan tambahan sekiranya ada, sebelum saksi memberikan ketera­ngan mengenai defendan yang tidak menunaikan tanggungjawab memberikan nafkah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN