Jangan mudah lupus program tak relevan

Jangan mudah lupus program tak relevan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institut pengajian tinggi (IPT) diminta tidak terlalu mudah melupuskan sesuatu program yang dirasakan tidak relevan dengan pasaran kerja atau industri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Majlis Presiden Persatuan Akademik Universiti Awam (MPPA), Dr. Mazlan Che Soh berkata, ini kerana ada sesetengah kursus itu tetap pen­ting untuk pembangunan karakter manusia.

Katanya, tidak dinafikan IPT merupakan platform untuk melahirkan tenaga kerja kepada pembangunan negara, namun perlu diingatkan IPT juga merupakan wadah untuk melahirkan pemikir negara.

KEJAR

“Misalnya kursus-kursus berbentuk filosofi dan falsafah, di Malaysia ini dilihat kurang sangat diberi perhatian sebab mungkin terlalu kejar melahirkan graduan yang boleh masuk dan memenuhi keperluan industri.

“Untuk tempoh jangka masa panjang, kita memang kena lihat sesetengah kursus yang perlu penambahbaikan sesuai dengan industri, tetapi pada masa sama ada sesetengah kursus penting dalam membina jati diri dan insaniah perlu juga diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, KPT menerima sebanyak 12 permohonan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi melupuskan program yang tidak lagi relevan.

Permohonan dilakukan sejak tahun lalu itu merangkumi tiga IPTA iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Ia melibatkan satu program ijazah sarjana muda, dua program peringkat diploma siswazah dan sembilan program peringkat ijazah sarjana.

Antara bidang yang terlibat dengan pelupusan program tersebut adalah sains koreksional, insurans dan psikologi sosial dalam pendidikan.

Mengulas lanjut, Dr. Mazlan yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan berkata, kursus yang bersifat falsafah berkemungkinan tidak relevan untuk pasaran kerja dan industri.

PERLU

Namun, katanya, ini kerana ia perlu diberi diutamakan untuk diterapkan di menara gading.

“Contohnya kursus yang memberi perhatian pada aspek-aspek sejarah dan falsafah atau program yang membentuk patriotisme negara serta cintakan negara.

“Mungkin kursus ini tidak relevan sangat, tetapi penting diterap­kan sebab universiti merupakan tempat untuk melahirkan pemikir, jadi perlu selarikan saranan sebagai gedung ilmu,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, semua IPT dalam negara diberikan fleksibiliti untuk membuat keputusan masing-sama sama ada mahu menawarkan atau memberhentikan program berdasarkan kajian dari semasa ke semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN