Indonesia tuntut janji Malaysia

Indonesia tuntut janji Malaysia

DUTA Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indonesia me­nuntut janji Malaysia dalam menyelesaikan isu serta pelarasan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang masih tergantung.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, ia perlu demi menjaga hubu­ngan kedua-dua negara terus utuh.
Katanya, komitmen itu pen­ting selepas dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan hanya dilihat sebagai pemimpin, tetapi sahabat kepada Indonesia.

“Mungkin kalau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjanji, ia tidak terlalu ‘diangkat’ di Indonesia, tetapi yang berjanji itu Anwar, seorang sahabat.

“Jadi apa yang kita lihat menerusi lawatannya pada Januari lalu, Anwar telah membe­ritahu Presiden Joko Widodo (Jokowi) bahawa beliau akan menyelesaikan persoalan yang terkait dengan pekerja asing warganegara Indonesia.

“Bahkan beliau memberi satu tempoh masa (dari tarikh lawatan rasmi) untuk menyelesaikan segalanya (isu pekerja asing). Ini satu harapan besar sebab yang berjanji bukan sahaja seorang Perdana Menteri, tetapi sahabat Indonesia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada April tahun lalu, Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI di negara ini.

Dalam lawatan ke Indonesia Januari lalu, Anwar dan Jokowi bersepakat mengukuhkan hubungan dua hala dan menyelesaikan beberapa isu membabitkan kedua-dua negara yang masih tertangguh.

Anwar dalam masa sama turut menyatakan komitmen untuk memberi perlindungan kepada warga republik itu yang bekerja di Malaysia dengan memastikan pengambilan dan perlindungan TKI serta PDI berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

Tambah Hermono, beliau kini bimbang selepas tidak menerima sebarang maklumat terkini tentang perkembangan terbaharu berhubung isu membabitkan TKI dan PDI.

“Kita sedikit bimbang kerana sudah lebih 100 hari Anwar memerintah dengan tempoh masa yang diberikan selepas tiga bulan (penyelesaian), kita tidak tahu apa yang telah dilakukan dan perkembangannya.

“Kalau janji tidak dilaksanakan, ini tidak menyenangkan. Ini boleh menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen yang beliau (Anwar) nyatakan ketika pertemuan dengan (Presiden) Joko Widodo,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hermono ketika ditanya tentang situasi politik di negara ini berkata, banyak persoalan berkenaan hala tuju dan polisi Malaysia tidak jelas selepas berlaku beberapa kali pertukaran kerajaan.

“Ada persoalan buat saya iaitu sangat susah untuk menjangkakan polisi kerajaan. Malah sukar untuk membaca hala tuju kerajaan Malaysia.

“Mungkin kerana bertukar kerajaan. Dulu ada Perikatan Nasional (PN) dan sekarang Kerajaan Perpaduan dengan polisi berbeza.

“Jadi timbul persoalan, tertanya-tanya ke mana hala tuju Malaysia? Saya fikir kalau saya tanya orang Malaysia termasuk awak (wartawan) pun pasti tidak dapat menjangkakan apa berlaku untuk seterusnya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN