Hidap kanser tidak luntur semangat lawan Ibnor Riza

Hidap kanser tidak luntur semangat lawan Ibnor Riza

IBNOR Riza Ibrahim bersama, Sarimah Sulaiman di rumah mereka di Taman Intan Duyung, Port Dickson, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penyanyi era 1980-an Ibnor Riza Ibrahim, 62, reda walaupun disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat yang menyebabkannya hilang sumber pendapatan daripada aktiviti menyanyi.

Beliau yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu terpaksa menolak 15 pertunjukan termasuk yang terbaharu di Singapura bulan lalu.

Ibnor Riza berkata, beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi lapan kali yang akan berakhir Jun ini di Hospital Tuanku Ja’afar, Se­remban.

“Saya telah membuat kemoterapi pertama dan kedua bermula 10 Mac lalu menyebabkan badan menjadi sedikit lemah, kulit kering dan rambut mulai gugur menyebabkan saya mengambil keputusan mencukur seluruh kepala.

“Kanser ini berkaitan dengan emosi, saya perlu kuat melawannya dan bangun. Alhamdulillah daripada segi kesihatan makin baik berbanding sebelum ini. Jika dulu saya akan mudah pengsan jika tertekan sebelum kemoterapi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Intan Duyung, di sini semalam.

Menurut Ibnor Riza, kesan daripada penyakit kanser limfoma itu juga menyebabkan suaranya seperti tiada ‘kuasa’ untuk menolak dan tidak dapat dilontarkan.

“Kali pertama hilang vokal ingatkan biasa, kadang terlalu banyak menyanyi suara menjadi panas dan paling tidak hilang dua hari tetapi masa saya mula-mula kena tekak tiada rasa sakit tetapi suara terus hilang,” katanya.

Penyanyi yang berasal dari Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan itu berkata, pada mulanya terdapat kelenjar di leher bersaiz kecil sebelum membengkak dan mula terasa sakit menyebabkan beliau membuat pemeriksaan di hospital lima bulan lalu.

“Doktor memberikan ubat antibiotik untuk menyurutkan bengkak memandangkan berisiko melakukan pembedahan kerana saluran saya membengkak di leher serta menghimpit saraf jantung dan otak,” katanya.

Ibnor Riza berkata, beliau reda dengan ujian tersebut dan perlu kuat demi isterinya, Sarimah Sulaiman, 51, serta empat orang anak.

“Apa yang berlaku ada hikmahnya, saya bersyukur walaupun hilang pendapatan dan terpaksa menolak 15 pertunjukan termasuk yang terbaharu pertunjukan di Singapura pada bulan lalu selepas disahkan menghidap kanser limfoma,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN