Hasil siasatan SPRM tiada ‘pemberat’

Hasil siasatan SPRM tiada ‘pemberat’

ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Datuk Mohd. Nazlan Ghazali ketika mendengar kes SRC International Sdn. Bhd. disifatkan tiada ‘pemberat’ dari segi undang-undang.

Sebaliknya, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, siasatan SPRM berhubung perkara itu hanya pandangan badan tersebut.

Menurut beliau, sebarang konflik kepentingan adalah tertakluk kepada undang-undang.

“Justeru, isu konflik kepen­tingan adalah terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan sama ada bersetuju atau tidak dengan pandangan tersebut dengan wajar.

“Tidak semestinya SPRM betul dalam siasatannya, pada masa sama, kita tak tahu AG bersetuju dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam surat tersebut, Azalina mengesahkan siasatan SPRM mendapati Mohd. Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mempunyai konflik kepentingan ketika mengadili kes tersebut.

Ia merujuk surat Azalina bertarikh 20 Mac 2023 yang dihantar kepada firma guaman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Shafee & Co, yang mewakili Najib berdasarkan salinan laporan SPRM bertarikh sama diterima daripada agensi itu.

Beliau dimaklumkan oleh SPRM berhubung perkara itu melalui surat bertarikh 21 Februari 2023.

Abu Talib yang merupakan Peguam Negara dari 1980 hingga 1993 berkata, sistem perundangan negara mempunyai semak dan imbang dalam aspek kuasa masing-masing.

“Kuasa siasat adalah dalam bidang kuasa agensi seperti SPRM dan sebagainya namun pendakwaan adalah bidang kuasa peguam negara,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Fahmi Abd. Moin berkata, berdasarkan laporan serta surat cadangan daripada Azalina, beliau ada menyatakan dapatan siasatan SPRM berkaitan isu pelanggaran tersebut.

“Namun pada pendapat saya, keputusan semakan kes SRC pada 31 Mac jelas menolak isu yang dibangkitkan pasukan pembelaan tentang Hakim Mohd. Nazlan tersebut tidak menjejaskan keputusan kes dan sabitan dan hukuman adalah selamat.

“Kes ini tidak perlu dibicarakan semula kerana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan secara mutlak,” katanya.

Beliau pada masa sama berpendapat bahawa surat tersebut akan menyebabkan kegusaran rakyat terhadap sistem kehakiman kerana wujud konflik antara pihak eksekutif dan badan kehakiman di mana Menteri Undang-Undang mempunyai pendapat yang berlainan secara terang-terangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN