PETALING JAYA : Amalan rasuah bukan hanya terbatas kepada sektor perkhidmatan awam tetapi turut menular di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang menjadi ‘sasaran’ pemberi rasuah dengan menawarkan komisen di antara lima sehingga 15 peratus bergantung kepada nilai projek yang diterima.
Budaya entertainment dealing, minum kopi atau teh tarik di antara pemohon tender bersama pihak berkepentingan di tiga sektor berkenaan telah membuka ruang perlakuan rasuah berlaku.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan ketiga-tiga sektor ini tidak tertumpu kepada satu peringkat sahaja namun ia merangkumi semua kedudukan dan pangkat yang ada dalam organisasi itu.
RINGGIT
Malah, kata sumber itu, nilai rasuah membabitkan sektor ini lebih tinggi dan mencecah bernilai ratusan juta ringgit.
“Jika kita lihat dalam proses permohonan tender, terdapat pegawai yang cenderung untuk keluar berjumpa pemohon tender yang berpotensi di luar pejabat dan luar waktu pejabat untuk minum dan berbincang.
“Sekiranya pegawai itu mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen atau tender dan sebagainya, sudah pasti ia membuka ruang dan peluang perlakuan rasuah meskipun mereka mengatakan ia sekadar minum-minum,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, kata sumber itu, tatakelola dan pengurusan pemberian tender yang lemah telah menyebabkan projek-projek berstatus ‘mega’ diberikan kepada syarikat atau kontraktor sama.
Jelas beliau, ada aduan-aduan yang diterima SPRM daripada kontraktor-kontraktor itu sendiri yang mengeluh mereka asyik tidak berjaya memperolehi projek meskipun memenuhi syarat.
“Lihat sendiri beberapa operasi yang dijalankan SPRM seperti Op Water melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Op Kartel Kementerian Kerja Raya (KKR) jelas membuktikan betapa parah amalan rasuah membabitkan tender-tender awam ini,” jelasnya
Pada 3 April lalu, Perdana Menteri mengakui masih ada pihak yang meminta komisen ketika berurusan dengan kerajaan termasuk dari pejabat beliau.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk tawaran berdasarkan hobi seperti bermain golf, berkaraoke, bercuti atau tanah-tanah lot kepada penjawat awam yangmemenuhi kepentingan pemberi.
MUDAH
Pemberi selalu menyelidik kegemaran penjawat awam yang diperlukan untuk menjadi mudah cara kepada kepentingan mereka.
Lapor Utusan Malaysia, perlakuan rasuah mudah berlaku membabitkan kakitangan kerajaan yang ditugaskan di bahagian perolehan atau jabatan-jabatan sensitif kerajaan terutamanya agensi penguatkuasaan yang bertugas menjaga pintu masuk negara.
Terdapat juga kes-kes yang disiasat SPRM mendapati penjawat awam ‘dihadiahkan’ dengan rumah atau beratus ekar lot-lot tanah dengan aset berkenaan diletakkan di atas nama proksi.
Kes-kes rasuah yang banyak berlaku kebelakangan ini berkaitan kemasukan pekerja asing dalam sektor kotor, berbahaya dan sukar (3D) yang sedang menjadi keperluan mendesak. – UTUSAN










