PONTIAN: Empat lelaki termasuk dua beradik mengakui bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menghalang tugas dan mencederakan seorang anggota polis, Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohamad Haikal Ab. Karim, 23, Khalid Khamis, 38, Mohamed Effendi Mohamed Said, 40 dan adiknya, Muhammad Fazli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Azzuin Abd. Moati.
Mengikut kertas pertuduhan, Khalid, Mohamed Effendi dan Muhammad Fazli didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menghalang Lans Koperal Muhammad Hasrull Mohd. Namiri daripada melaksanakan tugasnya di Kilometer 7, Jalan Kulai-Kota Tinggi kira-kira pukul 3 pagi, 22 April lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohamad Haikal pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Hasrull dengan menggunakan kaki dan tangan di lokasi dan masa yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Majistret Nur Azzuin membenarkan Mohamad Haikal diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin, manakala Khalid, Mohamed Efendi dan Muhammad Fazli, masing-masing dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 30 April ini di Mahkamah Majistret Kulai untuk menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini media melaporkan seorang anggota polis dipukul oleh sekumpulan mat rempit ketika menjalankan tugasan Op Selamat ke-20 di Kilometer 7, Jalan Kulai-Kota Tinggi. – UTUSAN