Malaysia bebas virus Nipah - Jabatan Veterinar

Malaysia bebas virus Nipah – Jabatan Veterinar

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan bahawa Malaysia bebas daripada wabak virus Nipah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan bahawa Malaysia bebas daripada wabak virus Nipah.

DVS berkata, pihaknya selaku agensi bertanggungjawab terhadap kesihatan haiwan dan penyakit zoonotik sentiasa menjalankan pemantauan berterusan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah negara ini terus terpelihara.

Katanya, pemantauan tahunan dilaksanakan ke atas babi domestik dan babi hutan bagi pengesanan awal kewujudan penyakit.

“Pada tahun 2025, lebih daripada 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah.

“DVS juga mengawal import daging babi dari luar negara, yang mana hanya negara yang bebas Nipah sahaja yang dibenarkan eksport ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, DVS berkata, kelawar buah dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus Nipah, manakala ternakan babi bertindak sebagai perumah pengganda yang boleh meningkatkan risiko jangkitan kepada manusia sekiranya biosekuriti ladang tidak dipatuhi

Jelasnya, antara tanda klinikal Nipah pada babi termasuk gejala pernafasan, demam, kelesuan, kurang selera makan serta gangguan saraf seperti tremor dan sawan.

“Sehubungan itu, penternak babi diseru meningkatkan kewaspadaan, khususnya ladang berhampiran dusun atau mempunyai pokok buah-buahan yang boleh menarik kehadiran kelawar.

“Penternak dinasihatkan memantau kehadiran kelawar, mengurangkan faktor tarikan serta memastikan amalan biosekuriti pada tahap tinggi, selain melaporkan segera sebarang tanda penyakit mencurigakan kepada DVS,” katanya.

Jabatan itu menegaskan, langkah-langkah kesiapsiagaan dan pemantauan akan terus diperkukuh khususnya melalui pemantauan terhadap populasi kelawar buah.

Tambahnya, orang ramai khususnya penternak perlu segera melaporkan kepada DVS sekiranya disyaki berlaku jangkitan penyakit Nipah dalam kalangan ternakan.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak panik, dapatkan maklumat daripada sumber rasmi, serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“DVS akan terus komited dalam memastikan keselamatan kesihatan haiwan, kelestarian industri ternakan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

“DVS turut menyeru semua pihak, khususnya para penternak, agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan melaporkan segera sebarang tanda klinikal kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×