BANGI: Saringan kesihatan bersasar (targeted screening) terhadap pelancong yang tiba di pintu masuk negara, khususnya dari India dan Bangladesh, diaktifkan susulan kebimbangan penularan virus Nipah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu telah mula dilaksanakan dengan pemantauan rapi bagi mengesan sebarang indikasi awal jangkitan, terutama melibatkan simptom demam.
“Targeted screening ini telah bermula dan ia memberi tumpuan kepada pelancong dari negara tertentu, khususnya India dan Bangladesh. Namun, negara lain juga tidak diambil ringan. Kita akan sentiasa berwaspada dengan mengaktifkan saringan ini bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk terjadi,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung di Kompleks RHB Bangi, di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan melonggarkan kawalan keselamatan memandangkan virus Nipah merupakan penyakit berjangkit yang boleh membawa maut.
Katanya saringan ketika ini hanya dilakukan di pintu masuk negara dan belum melibatkan pemantauan kesihatan sebelum penerbangan, selaras dengan amalan kebanyakan negara lain.
“Buat masa ini, saringan dilakukan apabila pelancong tiba. Kita akan menilai keperluan untuk langkah tambahan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya.
Dzulkefly berkata, Centre for Preparedness and Response Centre (CPRC) akan terus menilai dan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) mengikut keperluan, termasuk kemungkinan integrasi sistem pemantauan digital jika diperlukan.
KKM sentiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan langkah pencegahan yang diambil bersesuaian dan selari dengan garis panduan antarabangsa. – UTUSAN










