PETALING JAYA: Doktor kontrak tetap dengan pendirian melancarkan mogok di seluruh negara esok sehingga Rabu ini sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.
Tindakan itu jika diteruskan dikhuatiri boleh melumpuhkan operasi sektor kritikal seperti unit kecemasan hospital, pesakit luar serta klinik pakar yang berdepan kekurangan kakitangan.
Mereka juga tidak mempedulikan sumpah jawatan yang dilafaz kerana kecewa masalah lantikan ke jawatan tetap belum diselesaikan meskipun sudah berlanjutan tujuh tahun.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, jurucakap Mogok Doktor Malaysia dkenali sebagai Dr. Jamal berkata, beliau tidak menganggap tindakan itu mendatangkan masalah seperti dikenakan potong gaji, disenarai hitam dan dibuang kerja.
“Ini bukan masalah, sekiranya kerajaan akan mengambil tindakan terhadap kami, negara mempunyai undang-undang. kami akan melantik peguam untuk menyaman kerajaan.
“Kami akan teruskan perjuangan melalui mogok tidak bekerja. Kami telah beri tujuh tahun untuk selesaikan masalah lantikan tetap serta imbuhan yang selayaknya kami peroleh.
“Sudah tentu kami mengangkat sumpah jawatan sebagai doktor, tetapi ini tidak bermakna kami mesti patuh terhadap diskriminasi dan penindasan dengan doktor-doktor lantikan tetap. Saya ingatkan, mogok ini tidak melibatkan sebarang perarakan atau perhimpunan,” katanya di sini, semalam.
Pegawai Perubatan Gred UD43 bekerja di ibu negara itu berkata, pihaknya enggan lagi termakan janji-janji manis kerajaan meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu memberi jaminan isu doktor kontrak akan selesai dalam tiga tahun lagi.
“Maaf, kami tidak akan termakan sebarang janji lagi. Janji hanya janji seiring peralihan tiga kerajaan sebelum ini. Masa kami sudah terbuang sangat lama.
“Penindasan terhadap doktor kontrak, waktu kerja yang terlalu panjang, gaji terlalu rendah yang sepatutnya menjadi isu utama untuk kerajaan selesaikan,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi ekoran daripada rancangan mogok esok.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, penganjur kempen mogok doktor kontrak menasihati orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan esok hingga Rabu ini kerana mereka mungkin terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Mereka mendakwa, lebih 10,000 doktor perubatan dan doktor pelatih akan mengadakan protes dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai.
Ketidakpuasan hati dalam kalangan kakitangan perubatan terutama doktor kontrak dilihat semakin meruncing apabila tular surat yang memaparkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) enggan mempertimbang kadar bayaran bagi sistem tugas atas panggilan sebanyak 50 peratus.
Ketika membentang Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara baru-baru ini, Anwar berkata, Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023, iaitu RM36.3 bilion, termasuk peruntukan RM3 bilion setahun untuk lantikan baharu secara tetap dan kontrak, bagi lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
Pada November 2021, Kementerian Kesihatan memaklumkan, seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib ketika itu, sudah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh JPA dan 3,586 daripada jumlah itu membabitkan lantikan pegawai perubatan. – UTUSAN










