Dividen Simpan SSPN 3.05 peratus

Dividen Simpan SSPN 3.05 peratus

Mohamed Khaled Nordin (dua kanan) menunjukkan jumlah dividen Simpan SSPN 2022 di Putrajaya,semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2022 sebanyak 3.05 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM266.17 juta.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, agihan itu memberi manfaat kepada 5.73 juta pemegang akaun Simpan SSPN.

Beliau berkata, kadar itu lebih tinggi berbanding tiga peratus tahun sebelumnya, malah kompetitif berbanding simpanan semasa dan simpanan tetap disesetengah bank.

“PTPTN turut mengumumkan ganjaran kesetiaan satu peratus kepada pendeposit Simpan SSPN Prime sebagai tanda penghargaan.

“Ganjaran kesetiaan itu diberikan kepada pendeposit yang setia menyimpan dalam Simpan SSPN Prime selama ini.

“Ganjaran kesetiaan ini akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi bermula 5 April hingga 31 Julai ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, insentif itu juga layak disertai pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 sehingga 31 Disember 2019.

Mohamed Khaled berkata, setakat ini, jumlah deposit dalam Simpan SSPN berjumlah RM14.24 bilion sejak instrumen simpanan itu dibuka pada 2004.

Menurutnya, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak RM2.8 bilion.

“Dari segi pembukaan akaun baharu, 491,984 akaun te­lah dibuka pada 2022 berbanding sasaran 400,000 akaun,” katanya.

Katanya, setakat ini, agihan dividen secara keseluruhannya adalah bernilai RM1.33 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.

Selain itu, PTPTN turut me­ngadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang menawarkan hadiah RM500,000 untuk 138 pemenang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN