KUALA LUMPUR: Tidak minta harta sepencarian tetapi berjuang demi hak anak-anak.
Itu tegas pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin apabila ditanya mengenai ‘drama cerai tak jadi’ membabitkan dirinya dan suaminya, Syamsul Yusof.
Ujarnya, beliau tidak lagi berjuang untuk dirinya sebaliknya untuk memastikan hak anak-anaknya terbela.
“Sarah ada tunjukkan kepada Datuk (Yusof Haslam) dan Datin (Patimah Ismail) dan juga ibu bapa Sarah. Apa-apa pun memang Sarah bincang dengan mereka. Datuk dan Datin sendiri cakap jumlah (nafkah anak-anak) sikit tetapi Sarah tak nak minta melampau. Biar reasonable (berpatutan).
“Harta sepencarian pun Sarah tak minta, yang Sarah minta, yang banyaknya untuk anak-anak. Tetapi kalau untuk anak-anak pun nak diskaun, lepas tu suruh tarik (balik) kes terhadap famili Kazar, itu sudah melampau.
“Sarah akan fight (berjuang) untuk anak-anak. Saya bukan fight kosong tetapi untuk hak anak-anak dan saya,” kata pelakon drama Andai Itu Takdirnya.
Selain tidak bersetuju untuk membayar mutaah RM500,000 secara ansuran kepada Puteri Sarah Liyana, difahamkan Syamsul Yusof juga mengurangkan nafkah anak yang sebelum ini ditawarkan RM8,500 kepada RM7,000 sebulan bagi kedua-dua anaknya.
Utusan Malaysia juga difahamkan bahawa Syamsul hanya ingin membayar mutaah sebanyak RM100,000 kepada isteri pertamanya itu.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sarah turut memaklumkan bahawa isu tempat tinggal untuk anak-anak pasangan itu juga tidak dilayan oleh Syamsul.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 8 Mac 2014 dan telah dikurniakan dua anak, Shaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
“Satu lagi, isu tentang tempat tinggal anak-anak juga ada dibangkitkan. Bukan untuk beliau (Sarah) tetapi untuk anak-anak tetapi tidak dilayan jadi kami tidak ada pilihan. Permintaan adalah sangat munasabah
“Nafkah anak yang ditawarkan sebelum ini pun telah dikurangkan secara tiba-tiba hari ini. (Jumlah) Nafkah itu mereka yang tawarkan sebelum ini, Sarah tak minta pun tiba-tiba dalam draf (penyelesaian) terkini, (jumlah) nafkah itu dah turun, tiada alasan (diberikan) sebab itu beliau (Sarah) tidak gembira,” kata peguam itu.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi. Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014.
Sarah memfailkan permohonan cerai secara baik pada 16 Januari lalu dengan alasan tidak dapat hidup sebagai suami isteri, tiada persefahaman, terdapat tekanan dan gangguan daripada pihak ketiga dan hubungan sulit Syamsul serta telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).
Permohonan cerai itu dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – UTUSAN










