Cukai cecair vape undang mudarat kesihatan - Pemuda Pas Kelantan

Cukai cecair vape undang mudarat kesihatan – Pemuda Pas Kelantan

MOHAMAD Kamal Mohamad.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dewan Pemuda Pas Kelantan melihat keputusan kerajaan mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) dalam usaha mengenakan cukai produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin sebagai mengundang mudarat kesihatan kepada golongan muda di negara ini.

Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata, kelulusan tersebut secara tidak langsung menggugat usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini berusaha mengekang jumlah perokok melalui kempen Generasi Penamat Merokok (GEG).

“Situasi hari ini berbeza dengan kelulusan pengecualian sebelum pada 6 Oktober 2022 lalu, Ketika itu pentadbiran PN mengecualikan ‘nicotine gum’ dan ‘nicotine patch’ bagi tujuan bantuan berhenti merokok dan tidak kepada cecair dan gel nikotin yang menjadi bahan mentah vape.

“Saya lihat Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini seolah merencatkan usaha baik dengan kelulusan kepada berpihak kepentingan cukai ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Kamal memberitahu, jika punca kewangan melalui cukai dijustifikasikan dalam mengecualikan nikotin daripada Akta Racun 1952 secara terbuka termasuk tujuan vape, kesan kesihatan yang dihabiskan merawat pesakit akibat rokok berasas nikotin perlu juga diambil kira oleh kerajaan.

Katanya, berpandukan rekod pada tahun 2020 kos rawatan pesakit akibat merokok berjumlah RM6.2 bilion berbanding hanya RM3 bilion sahaja cukai dikutip daripada industri rokok.

“Apa jua kepentingan segera, kerajaan dipohon untuk membuat semakan semula terhadap pengecualian nikotin yang telah diwartakan atau sekurang-kurang ianya boleh dibincangkan dalam sidang terbuka seperti Parlimen untuk menilai kesan terhadap rakyat,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam kerajaan mewartakan duti eksais bagi cecair vape dengan kandungan nikotin pada kadar 40 sen setiap ml dalam usaha mengenakan cukai produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin.

Perkara itu dinyatakan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Menurut notis warta kerajaan itu, duti baharu itu berkuat kuasa hari ini berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.

Sebelum ini, ketika perbentangan Bajet 2023, Anwar berkata, kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin di mana separuh daripada hasil akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya