PUTRAJAYA: Penetapan tarikh awal bulan Hijrah di setiap negara berbeza-beza kerana konsep matla’ atau tempat terbit anak bulan yang amat berlainan di seluruh dunia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar falak tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed, tiada matla’ universal atau bersifat seragam antarabangsa dan ia menjadi punca tarikh Aidilfitri juga tidak sama.
Justeru, keghairahan umat Islam di Malaysia dengan ramalan tarikh 1 Syawal 1444 Hijrah yang kononnya jatuh pada 21 April ini di beberapa negara tidak masuk akal.
“Kita cuma boleh terima pakai hasil cerapan hilal dengan matla’ di negara kita dan bukan hasil keputusan rukyah di negara lain apatah lagi yang nun jauh di tanah Arab,” katanya di sini semalam.
Beliau yang juga Penasihat Persatuan Falak Syari’ Malaysia hairan dengan sikap masyarakat Islam negara ini lebih percaya ramalan Aidilfitri di luar negara susulan laporan berita yang tular dari Pusat Astronomi Antarabangsa (IAC) di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) konon Hari Raya Puasa kali ini pada 21 April dan bukannya 22 April.
Ekoran isu itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) minggu lepas menerbitkan kenyataan bagi menyanggah ramalan tersebut yang mana berdasarkan infografik disiarkan agensi itu, ia menunjukkan hilal Syawal di titik rujuk paling barat di Malaysia iaitu Pulau Perak, Kedah gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah.
Senario berkenaan yang terjadi pada tahun lalu, malah dijangka berlaku sekali lagi pada hari pencerapan petang 20 April ini kecuali ada ‘keajaiban’ tidak disangka muncul pula.
Mengulas lanjut, Azhari yang juga bekas panel pakar falak rujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, pandangan IAC turut bukan pendirian sebenar kerajaan UAE.
“Malah saya jangka UAE pun beraya pada 22 April nanti kerana syarat kenampakan hilal Syawal tidak dipenuhi berdasarkan kriteria imkanur rukyah diamalkan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau tidak bersetuju gesaan segelintir pihak di negara ini mahu Jakim mengkaji semula kaedah hisab imkanur rukyah agar kena disejajarkan pula dengan IAC.
Ujar beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jupem, UAE menggunakan kaedah hisab wujudul hilal tanpa rukyah, padahal ia sudah tidak lagi digunakan di Malaysia sejak 1996.
Kaedah lama itu membolehkan bulan setelah ijtima’ atau lahir dan ia berada di atas ufuk walau sekejap atau serendah mana sekali pun pada Maghrib, maka esok ialah 1 haribulan.
Sedangkan cara negara ini turut disepakati Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) termasuk kriteria baharu yang diwartakan pada 2021.
Bahkan kata Azhari, berdasarkan kriteria terkini itu, hanya negara-negara terletak di garis bujur antara 180 darjah Barat sehingga 0 darjah yang akan beraya pada 21 April.
Sementara negara-negara dari longitud 0 darjah sehingga 180 darjah Timur pula bakal meraikan tarikh 1 Syawal lewat sehari kemudian dan data itu juga meliputi UAE sendiri. – UTUSAN










