PENDANG: Seorang budak perempuan melecur sebahagian badannya disyaki akibat disambar api ketika bermain mercun dan bunga api di Kampung Senara, Kubur Panjang di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kpukul 10.30 malam, Nur Zatil Hidayah Mohd. Tarmizi, 4, melecur kira-kira 46 peratus anggota badan.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian daripada pihak Hospital Pendang pada pukul 2.45 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua abangnya berusia tujuh dan 10 tahun bermain bunga api dan mercun di hadapan rumah.
Katanya, ibu bapa mangsa pula berada di dalam rumah menonton televisyen.
“Tiba-tiba suami isteri itu dikejutkan dengan jeritan mangsa dan berlari keluar sebelum mendapati dua anak lelaki mereka sedang memadam api yang membakar tubuh mangsa,” kata beliau semalam.
Kata beliau, bapa mangsa yang bekerja kampung itu kemudian mengambil sebaldi air lalu menjirus pada badan anaknya itu sebelum bergegas membawa mangsa ke Hospital Pendang.
“Kita masih menjalankan siasatan berikutan bapa mangsa mendakwa anak perempuannya itu disyaki terbakar akibat disambar api daripada pelita minyak tanah ketika ingin menyalakan bunga api.
“Kejadian sebenar hanya akan diketahui selepas kita merakam keterangan dua abang mangsa kerana buat masa ini mereka masih dalam keadaan trauma dengan insiden itu,” jelasnya.
Tambahnya, pihak hospital setakat ini belum memaklumkan laporan keputusan punca kecederaan sebenar mangsa sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau mercun.
“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu ibu bapa atau penjaga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya. – UTUSAN










