Bekas ibu mentua tunai hasrat jaga anak Rubiah

Bekas ibu mentua tunai hasrat jaga anak Rubiah

WAN Zaini Wan Abdullah (dua dari kiri) dan suaminya, Aziz Mustafa (kanan) bersama lima daripada tujuh anak Allahyarham Rubiah Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Besi, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Bekas keluarga mentua wanita yang mati dipercayai dibunuh suaminya dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, dekat sini, akan menunaikan hasrat wanita itu supaya menjaga anak-anaknya.

Bekas ibu mentuanya, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata, Allahyarham Rubiah Sabtu, 41, sering berpesan kepada keluarganya supaya menjaga anak-anaknya sekiranya dia meninggal dunia.

“Dia (Rubiah) bagi tahu hanya mengharapkan keluarga mak cik,” katanya selepas pengebumian jenazah Allahyarham Rubiah di Tanah Perkuburan Islam Bandar Bukit Besi di sini, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Rubiah ibu kepada tujuh orang anak itu mati dipercayai dibunuh suaminya dengan menggunakan tukul besi selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut.

Enam kesan hentakan tukul besi ditemui pada bahagian muka dan telinga Rubiah yang dipercayai menjadi punca kematiannya.

Wan Zaini memberitahu, meskipun Rubiah dan anaknya, Mohd. Radzi Aziz, 38, telah berpisah sejak empat tahun lalu, hubungannya dengan bekas menantunya masih erat.

“Mak cik dah anggap Rubiah macam anak sendiri sebab dia dan anak mak cik berkongsi hidup selama 15 tahun.

“Hubungan kami sangat erat dan kami sering berhubung untuk bertanya khabar,” katanya yang turut menyifatkan bekas menantunya seorang wanita yang baik dan penyabar.

Menurutnya, dua anak Rubiah iaitu Nur Daniela Danissya,11, dan Muhammad Adam Darwisy, 9, dijaganya sejak dua tahun lalu dan dibawa tinggal di rumah anaknya, Nurfadzilah Aziz, 32, di Tangga Batu, Melaka.

“Mak cik akan bawa dua lagi anak arwah iaitu Muhammad Danial Naufal yang berusia tujuh tahun dan Muhammad Dani Lutfi, berumur lima tahun untuk turut tinggal bersama mak cik di Melaka.

“Anak sulung dan anak kedua Rubiah iaitu Muhammad Daniel, 18 tahun dan Muhammad Danish Hakim 15 tahun akan tinggal di Bukit Besi bersama bapa kandung mereka,” katanya.

Anak Rubiah bersama suami yang baharu dikahwini setahun lalu, iaitu Nur Kaira Damia yang berusia tiga bulan, akan dijaga keluarga lelaki itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×