SEREMBAN: Seorang bapa merayu campur tangan kerajaan untuk membawa pulang anaknya yang menjalani hukuman penjara 20 tahun di penjara Nepal atas kesalahan mengedar dadah atau sekurang-kurangnya mengurangkan tempoh tersebut.
Jamaluddin Malek, 72, berkata, anak sulungnya Marina, 44, kini perlu menghabiskan baki 12 tahun lagi di penjara berkenaan.
Marina ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Nepal ketika dalam perjalanan ke Itali melalui Kathmandu, Nepal selepas didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram yang disembunyikan dalam komputer riba.
Jamaluddin yang hanya bekerja kampung berkata, pada 15 Februari lalu dia ditemani anak lelakinya, Saifuddin Jamaluddin, 32, berpeluang melawat Marina di Nepal dengan kos keseluruhan RM2,000 yang dikumpul.
Menurut Jamaluddin, anaknya yang menghidap asma kelihatan kurus dan memerlukan wang kerana segala kos makan dan minum serta perubatan dalam penjara perlu ditanggung sendiri.
“Makanan di sana semuanya tidak halal. Jadi ada ketikanya saya akan pos makanan kering kepada Marina seperti biskut dan mi segera.
“Kalau ada duit lebih, saya akan hantar kepada Marina kerana jika tidak, kehidupan dia di dalam penjara lagi susah,” katanya ketika ditemui di sini.
Jamaluddin berkata, Marina juga teruja apabila dia membawa makanan kegemarannya yang sangat dirindui iaitu rendang daging dan pucuk ubi ketika melawatnya di penjara Nepal.
“Marina menangis sebab sangat rindukan anak lelakinya berusia 16 tahun yang kini dijaga oleh neneknya di Panchor, Seremban.
“Sebagai bapa, saya tidak pernah membuang Marina dan menganggap apa yang berlaku sebagai ujian kami sekeluarga,” katanya hiba.
Tambahnya, dengan usianya sekarang, dia tidak pasti sama ada masih berpeluang bersama Marina atau pun tidak.
“Kalau saya ada duit lebih, memang saya hendak selalu melawat Marina di Nepal, tapi kos ke sana tu bukannya sedikit.” – UTUSAN










