PETALING JAYA: “Jangan risau, saya cuma tertekan disebabkan kerja. Mental saya okay.”
Demikian penegasan pelakon, Fathia Latiff terhadap dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia ketika ini berhadapan masalah kesihatan mental selepas beberapa video mengenainya tular di media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fathia mengakui, beberapa video tular baru-baru ini adalah satu kesilapan yang berpunca daripada tekanan kerja selepas menjalani dua penggambaran drama dalam jangka masa pendek.
“Alhamdulillah saya okay. Saya tertekan ketika itu, sebab itu tersilap langkah muat naik beberapa video ‘pelik’. Dari segi mental, mungkin ketika itu tidak berapa okey. Tetapi sekarang semua beransur baik.
“Saya seorang pelakon method, jadi bila terlibat dalam penggambaran dua drama pada waktu lebih kurang sama, tekanan emosi dan penjiwaan watak itu sedikit memberi kesan. Sebab itu saya sukar mengawal emosi.
“Sekarang saya sudah dapat ketenangan dengan memperbanyak ibadah, berdoa dan keluar bersama rakan-rakan. Syukur saya ada sistem sokongan yang baik,” katanya.
Dalam video pertama pertama yang tular baru-baru ini, pelakon Ariana Rose itu dikatakan berselisihan faham dengan ibu bapanya selepas dia dipercayai terlibat dalam kemalangan kecil.
Nama Fathia kemudian sekali lagi sohor di media sosial apabila dia tiba-tiba bertanyakan soalan siapa lebih cantik antara dia dan Ira Kazar sehingga ada peminat mahu dia mencuba nasib sebagai isteri ketiga kepada pengarah itu.
Sementara itu, menjawab penularan video melibatkan Ira Kazar, Fathia menjelaskan, pertanyaan itu hanyalah satu gurauan semata-mata.
“Saya saja kacau-kacau peminat ketika itu. Tidak ada niat serius pun, semua itu hanyalah satu gurauan. Saya mahu mengurangkan tekanan kerja, sebab itu sengaja bergurau begitu,” katanya.
Berkongsi perkembangan seni, Fathia bakal muncul dalam drama sempena Aidilfitri, Papa Balik Raya yang bakal ditayangkan di stesen TV Al Hijrah tidak lama lagi.- UTUSAN










