ADUN Pahang setuju RUU Anti Lompat Parti dibentang - Utusan Malaysia

ADUN Pahang setuju RUU Anti Lompat Parti dibentang

MOHD SHARKAR Shamsudin (depan) bersama ADUN kerajaan perpaduan dan pembangkang Pahang yang hadir dalam sesi taklimat RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Anti Lompat Parti) di bilik mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) di negeri ini bersetuju Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan Mei ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, persetujuan itu dicapai dalam sesi taklimat tentang RUU tersebut kepada semua ADUN kerajaan perpaduan dan pembangkang oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Pahang, hari ini.

“Pada taklimat yang disampaikan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang hari ini, kita lihat semua berpuas hati. Ada sedikit sebanyak perkara yang perlu diharmonikan dan diperhalusi sebagai perlindungan jangka masa panjang.

“Jika mendapat sokongan, RUU ini mesti sampai ke pejabat DUN sebelum 22 April ini. Jadi taklimat ini juga merupakan satu cara untuk kita dapatkan sokongan dua pertiga untuk menyokong RUU yang melibatkan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Anti Lompat Parti) di bilik mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, perbezaan RUU negeri ini dengan tujuh negeri lain ialah tentang lima ADUN lantikan yang mempunyai kuasa untuk mengundi dalam sidang dewan.

“Itu antara perkara yang kita perhalusi manakala 95 peratus lagi boleh dikatakan sama dengan pindaan yang dibincangkan dan diluluskan di peringkat Persekutuan.

“Kita berbincang dengan baik dan akan perhalusi semua perkara yang perlu. Kita tidak terburu-buru untuk menentukan RUU ini perlu diselesaikan sepenuhnya pada sidang DUN akan datang sahaja,” katanya.

Katanya lagi, RUU ini penting bagi memastikan tiada ahli politik yang lompat parti bagi kepentingan diri selain menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin yang telah dipilih.

Sementara itu, ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga ketua pembangkang mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN) di DUN Pahang berkata, pihaknya berharap pembentangan RUU berkenaan tidak dilaksanakan secara terburu-buru dan diperhalusi terutama berhubung soal ADUN lantikan.

“Kita harap RUU dilengkapkan dengan baik sebelum dibentang, insya-Allah ia akan mendapat sokongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya