ANKARA: Seorang ketua wilayah bagi parti pembangkang utama Turkiye ditahan pada Ahad bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah, lapor media tempatan.
Umit Erkol, yang merupakan Pengerusi Parti Rakyat Republikan (CHP) bagi cawangan wilayah Ankara, ditahan bersama lapan individu lain.
Mereka ditahan berkaitan siasatan penyelewengan membabitkan kontrak antara perbandaran Izmir dan firma pembinaan Izbeton, lapor agensi berita T24 dan BirGun.
Menurut pejabat pendakwa raya Izmir yang dipetik media tempatan, siasatan tersebut melibatkan pertuduhan pecah amanah, penipuan berat, pemalsuan dokumen rasmi dan kegagalan dalam menjalankan tanggungjawab pengawasan.
Datuk Bandar Ankara daripada parti CHP, Mansur Yavas mengecam tindakan penahanan Erkol melalui satu hantaran di laman X.
Beliau menyatakan bahawa Erkol merupakan tokoh awam yang dikenali ramai dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
“Sekiranya waran tangkap dikeluarkan dalam keadaan sebegini, maka kita tidak lagi boleh berbicara soal keadilan,” kata Yavas.
Pihak pembangkang di Turkiye kini berada di bawah tekanan hebat sejak penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, pada Mac 2025.
Imamoglu kini sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah sejak 9 Mac lalu, bersama-sama dengan 413 defendan lain.
Beliau, yang telah dipilih oleh CHP sebagai calon untuk pilihan raya presiden yang dijadualkan pada Mei 2028, dilihat sebagai calon pilihan utama dan satu-satunya individu yang mampu menewaskan Presiden Recep Tayyip Erdogan. – AFP










