KOTA KINABALU: Pendedahan siasatan tragedi Double Six yang mengorbankan 11 orang termasuk Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens mesti disertakan bersama laporan yang dilakukan pihak Australia tentang punca di sebalik nahas udara terbabit.
Ia penting bagi merungkai persoalan dan mengetahui sebab pesawat Nomad 9M-ATZ buatan Australia yang dinaiki Fuad dan beberapa orang kenamaan itu terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, banyak isu melingkari misteri nahas termasuklah pendedahan Arkib Negara Australia bahawa bahagian tertentu teks laporan tragedi itu telah dihapuskan atau dipadamkan.
Malah, kata Teck Lee, tindakan Arkib Negara Australia juga dipersoal apabila enggan memberikan pelepasan maklumat laporan siasatan tragedi dengan menjadikan alasan tindakan itu boleh mengakibatkan kerosakan hubungan antarabangsa Komanwel.
“Malaysia perlu meminta kerjasama kerajaan Australia untuk mengeluarkan laporan penuh yang dilakukan negara itu bagi mengelak salah faham dan spekulasi tragedi nahas sama ada ia kemalangan udara atau konspirasi yang dirancang lebih awal.
“Selama ini, Arkib Negara Australia memberi alasan pelepasan maklumat dijangka boleh mengakibatkan kerosakan hubungan antarabangsa Komanwel.
“Kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya. Ini kerana Arkib Negara Australia juga telah mendedahkan bahawa bahagian tertentu teks telah dihapuskan atau dipadamkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Rabu lalu memberitahu, kerajaan akan mengumumkan laporan kemalangan udara yang tersimpan selama 47 tahun.
Beliau berkata, selama ini kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf (dinyahklasifikasi) sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).
Keputusan menyahklasifikasi laporan tragedi Double Six akhirnya akan merungkai misteri yang selama ini menjadi tanda tanya kepada keluarga mangsa dan rakyat Sabah.
Kemalangan Double Six telah membunuh semua penumpang dan juruterbangnya. Selain Fuad turut terkorban ialah Menteri Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin, Chong Thien Vun dan penolong menteri Darius Binion.
Yang lain, Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andau, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Dr. Syed Hussein Wafa, Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Isak Atan, pengawal peribadi Fuad, Koperal Said Mohammad, juruterbang, Kapten Gandhi dan anak sulung Fuad, Johari Stephens.
Punca di sebalik kemalangan itu masih tidak diketahui tetapi sejurus selepas kemalangan, terdapat dakwaan mengatakan ia perbuatan khianat kerana keadaan politik Sabah yang tidak menentu pada masa itu.
Kerajaan Australia menghantar empat pasukan penyiasat bagi membantu mencari punca kemalangan, malah wujud juga spekulasi yang menganggap kegagalan teknikal dan lebihan muatan merupakan faktor utama yang menyebabkan kemalangan.
Namun, punca sebenar bagi kemalangan itu masih belum diketahui sehingga sekarang dan laporan asal mengenai kejadian itu masih diklasifikasikan.
Pada sebelah petang berikutan kemalangan itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Pada masa sama, Teck Lee berkata, persoalan sama ada insiden itu satu misteri yang perlu dirungkai atau sekadar kemalangan, ia bergantung kepada laporan yang akan didedahkan tidak lama lagi.
“Adakah tragedi itu misteri atau kemalangan biasa, kita tunggu laporan nahas Double Six yang akan diterbitkan,” katanya.
Sebelum ini, Teck Lee antara pemimpin Sabah yang mendesak agar siasatan semula dilakukan terhadap nahas pesawat yang berlaku pada 6 Jun 1976.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, siasatan semula penting agar tiada keraguan lagi dalam kalangan orang awam mengenai punca yang menyebabkan berlakunya nahas pesawat berkenaan.
Menurut beliau, laporan insiden besar seperti kemalangan atau nahas pesawat sebegitu perlu dihebahkan untuk makluman kepada rakyat. Ia penting untuk dijadikan rujukan jentera kerajaan pada masa depan.
Kelmarin, Harris Salleh dalam satu kenyataan memberitahu pendedahan laporan nahas pesawat Double Six yang akan dinyahklasifikasi bakal membersihkan namanya yang selama 47 tahun dituduh terlibat dalam tragedi tersebut. – UTUSAN










