Umrah ditangguh, jemaah tuntut semula bayaran

Umrah ditangguh, jemaah tuntut semula bayaran

NIK Dah Yusoff menunjukkan surat bayaran penuh untuk menunaikan umrah di Kota Bharu Kelantan hari ini.- UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kira-kira 30 daripada 400 jemaah umrah menuntut sebuah syarikat pelancongan memulangkan semula bayaran selepas ibadah berkenaan ditangguhkan pada saat-saat akhir.

Rata-rata bakal jemaah mendakwa, agensi pelancongan tersebut memberi alasan bahawa jemaah umrah terdahulu tinggal terlalu lama di Mekah dan penginapan di hotel juga penuh sehingga terpaksa menangguhkan penerbangan jemaah ketika ini.

Nik Dah Yusoff, 76, berkata, dia bersama anak lelaki dan  menantu sepatutnya berlepas ke Mekah pada Isnin ini hanya dimaklumkan bahawa penerbangan mereka ditangguhkan pada minggu lalu.

Menurutnya, selepas dimaklumkan penangguhan itu, dia tidak lena tidur hampir setiap malam apabila mengenangkan wang sebanyak RM32,000 yang telah dibayar kepada agensi pelancongan tersebut.

“Saya dimaklumkan mengenai penangguhan penerbangan jemaah pada minggu lalu semasa datang ke pejabat syarikat berkenaan untuk mengambil bagasi.

“Pihak pengurusan agensi itu memaklumkan bahawa ibadah umrah yang diuruskan mereka terpaksa ditangguh dengan memberi alasan jemaah sedia ada berada terlalu lama di Mekah dan semua hotel juga penuh,” katanya ketika ditemui pemberita di depan syarikat agensi pelancongan itu di sini hari ini.

Seorang lagi bakal jemaah umrah, Mohd. Nasir Saad, 65, memberitahu, dia pernah menunaikan umrah dengan syarikat yang sama empat tahun lalu dan berpuas hati dengan pakej yang ditawarkan.

Katanya, disebabkan reputasi yang baik sebelum ini, dia bersama tiga lagi ahli keluarga termasuk isteri sekali lagi memilih syarikat tersebut untuk menunaikan umrah pada tahun ini.

“Saya sudah membayar sebanyak RM54,000 untuk pakej umrah kali ini. Kami sepatutnya berangkat ke Tanah Suci pada 26 Februari lalu, namun mendapat memo penangguhan daripada syarikat berkenaan tiga hari sebelum berlepas.

“Semua bakal jemaah umrah mahu maklum balas secara bertulis dikeluarkan oleh syarikat itu. Kami mahu semula wang yang telah dibayar dan tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya tidak mendapat bayaran balik,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap agensi pelancongan itu ketika dihubungi berkata, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada jemaah apabila tempat penginapan atau hotel di Mekah penuh ketika ini.

Katanya, semua jemaah yang membuat bayaran akan dibawa menunaikan umrah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Wang bayaran deposit hotel di Mekah dan Madinah juga sudah dibayar. Jadi, kami memohon semua jemaah agar bersabar dengan penangguhan ini.

“Sekiranya jemaah mahu kami memulangkan wang mereka, proses itu akan memakan masa selama kira-kira tiga bulan untuk menerima bayaran balik kerana semua pembelian tiket penerbangan sudah dibuat sebelum ini,”katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya