SHAH ALAM: Dua lelaki warga United Kingdom (UK) dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa dalam talian, empat tahun lalu.
Tertuduh, Andrew Mark Peters, 55, yang berkerusi roda dan Darren Anthony McNicholas, 51, masing-masing turut didenda RM180,000 dan RM140,000.
Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas dua sahabat itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris dan menyifatkan kesalahan tersebut serius kerana melibatkan isu global.
“Saya berharap supaya tertuduh insaf dan tidak mengulanginya. Selain hukuman penjara enam bulan, tertuduh dikenakan tambahan penjara antara enam bulan hingga setahun jika gagal membayar denda,” katanya.
Mengikut dua pertuduhan itu, Andrew sebagai dalang sindiket bersama Darren didakwa menipu seorang warga Scotland masing-masing berjumlah AS$5,672.41 (RM25,528.68) dan EUR 121,200.00 (577,691.87) yang dimasukkan ke dalam dua akaun bank milik Premier Tranfers Ltd.
Ini bagi membuat pelaburan jangka masa singkat menerusi pembelian saham di dua buah syarikat tidak wujud iaitu Novocure Limited dan Lithion Power Corp.
Kesalahan itu dilakukan mereka dengan menggunakan nama samaran ‘Henry Paxton’ dan ‘David Henshaw’ di sebuah bangunan di Petaling Jaya pada 21 Mei dan 27 Jun 2019. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










