PETALING JAYA: Orang awam dan pengamal media diingatkan tidak menyiarkan, berkongsi atau menyebarkan sebarang gambar, video serta maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terlibat dalam sesuatu kes jenayah.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, ia meliputi penyebaran di media sosial atau mana-mana platform komunikasi digital termasuk insiden tular melibatkan murid di sebuah sekolah di Banting dekat sini, baru-baru ini.
Menurut JKM, maklumat yang boleh membawa kepada pengecaman identiti kanak-kanak tidak boleh disebarkan sama ada kanak-kanak itu merupakan mangsa, saksi atau individu yang terlibat atau disyaki terlibat dalam apa-apa perbuatan jenayah.
“Perbuatan mendedahkan identiti kanak-kanak adalah bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang melarang penerbitan atau penyiaran apa-apa gambar, nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran yang boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak dikenal pasti.
“Mana-mana pihak yang disabitkan melakukan kesalahan di bawah peruntukan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JKM berkata, pendedahan identiti kanak-kanak bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan emosi, maruah dan proses pemulihan mereka.
Katanya, perbuatan itu juga memberi kesan berpanjangan terhadap kehidupan dan perkembangan kanak-kanak terlibat.
JKM meminta semua pihak menghentikan penyebaran kandungan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak serta menghormati hak privasi mereka.
“Orang ramai juga diminta mengamalkan penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN









