Ouahbi buktikan pengkritik silap di Piala Dunia

Ouahbi buktikan pengkritik silap di Piala Dunia

MOHAMED Ouahbi mempunyai perancangan taktikal yang mampu mengubah permainan Maghribi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Seorang pensyarah pernah memberitahu pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi bahawa beliau tidak memiliki kemahiran yang diperlukan untuk menjadi guru pendidikan jasmani.

Namun, dengan membawa Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia menerusi corak permainan menyerang yang menarik, Ouahbi membuktikan tanggapan itu sama sekali meleset.

Jurulatih kelahiran Belgium berusia 49 tahun itu masih belum tewas dalam kejohanan kali ini dan bakal mengetuai Maghribi berdepan juara dunia dua kali, Perancis, pada aksi suku akhir di Foxborough, esok.

“Saya masih ingat ketika tahun pertama pengajian saya, seorang pensyarah memberitahu saya bahawa pada pandangannya, saya tidak sesuai menjadi guru, mengajar atau berkomunikasi,” kata Ouahbi kepada majalah bola sepak Perancis, Onze Mondial, bulan ini.

Namun, Ouahbi sejak itu membuktikan beliau mampu menepis segala keraguan.

Apa yang gagal dicapainya sebagai pemain, berjaya direalisasikan sebagai jurulatih, meskipun sebahagian besar pengalaman beliau adalah dalam membangunkan bakat muda.

Sebelum dilantik sebagai pengendali Maghribi hanya tiga bulan sebelum Piala Dunia bagi menggantikan Walid Regragui, beliau tidak pernah mengendalikan skuad senior kecuali semusim sebagai penolong jurulatih kelab gergasi Belgium, Anderlecht.

Sebaliknya, beliau menghabiskan 17 tahun melatih pemain muda di Anderlecht, termasuk membimbing bintang Belgium seperti Youri Tielemans dan Jeremy Doku ketika mereka masih di peringkat pembangunan.

Hasil pengalaman itu membuahkan kejayaan apabila beliau membawa Maghribi muncul juara Piala Dunia Bawah 20 Tahun tahun lalu selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti pada separuh akhir sebelum menundukkan Argentina di pentas final.

Cabaran menentang Perancis yang dibarisi bintang sensasi, Kylian Mbappe, sememangnya lebih sukar, namun Ouahbi sudah berjaya meraih keyakinan bekas pemain kebangsaan Maghribi.

“Terdapat keraguan sama ada beliau mampu mengendalikan pasukan yang dipenuhi pemain bintang, tetapi apa yang kami lihat dalam perlawanan persahabatan cukup meyakinkan.

“Beliau datang ketika semua orang berasa bimbang. Ia satu pertaruhan besar, namun beliau berjaya,” kata bekas pemain tengah Maghribi, Abdelaziz Bennij.

Latar belakang Ouahbi bersama skuad remaja turut membantu beliau mengendalikan pemain tengah berbakat berusia 18 tahun, Ayyoub Bouaddi, bekas tonggak Perancis Bawah 21 Tahun yang memilih mewakili Maghribi sejurus sebelum Piala Dunia.

Beliau turut dipuji kerana menyuntik dimensi baharu dalam corak permainan pasukan yang diwarisinya daripada Regragui.

Gaya serangan balas Regragui sememangnya membawa kejayaan besar apabila Maghribi mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 sebelum tewas kepada Perancis, selain muncul juara Piala Negara-Negara Afrika tahun ini yang dicemari kontroversi.

Sebaliknya, corak permainan lebih menyerang yang diterapkan Ouahbi, dengan pemain baharu Bayern Munich, Ismael Saibari, menjadi nadi utama, jelas terserlah ketika mengikat Brazil 1-1 di peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan Belanda menerusi penentuan penalti pada pusingan 32 terbaik.

“Beliau berjaya memaksakan corak permainannya ke atas dua gergasi bola sepak, khususnya ketika menentang Belanda.

“Beliau tahu bagaimana mengawal permainan dan merangka strategi menyerang yang kreatif tanpa mengorbankan kekuatan benteng pertahanan.

“Ouahbi membawa nilai tambah kepada pasukan dan tidak sekadar meneruskan pendekatan sedia ada,” kata legenda Maghribi, Aziz Bouderbala.

Walaupun menerima pujian meluas, Ouahbi enggan mengambil semua penghargaan untuk dirinya sendiri dan lebih mengutamakan semangat berpasukan.

“Saya sentiasa cuba melibatkan semua orang dalam projek ini,” katanya.

“Saya tidak pernah bercakap menggunakan kata ganti diri ‘saya’. Saya sentiasa menggunakan ‘kami’.

“Apabila saya bercakap menggunakan ‘saya’, saya akan mewujudkan jurang antara diri saya dengan semangat kolektif pasukan.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja seluruh barisan kejurulatihan. Sesiapa yang beranggapan dia mampu berjaya seorang diri tidak akan mampu bertahan lama atau mencapai kejayaan dengan cara yang betul,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN