KANGAR: Sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di sini semalam memberi kelainan buat guru-guru tahun satu apabila tiga muridnya yang berada dalam satu kelas berkongsi nama Maryam.
Ketiga-tiga murid berkenaan Nur Maryam Khadeeja Masharul, Maryam Jasmine Amir dan Che Maryam Maritza Saiful Afdzan memulakan sesi persekolahan tahun satu dalam kelas yang sama.
Maryam Jasmine ketika ditemui berkata, dia amat seronok dan teruja dapat bersama rakan-rakan baharu bagi mengikuti sesi persekolahan.
“Seronok (datang ke sekolah), saya dapat jumpa kawan dan belajar bersama,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Sena, Azhar Darus berkata, kehadiran tiga orang murid itu memberi sedikit kelainan bagi sesi pembukaan persekolahan pada kali ini memandangkan mereka mempunyai nama ‘klasik’ yang jarang digunakan masa kini dan turut berada dalam satu kelas.
“Pada peringkat permulaan mungkin guru-guru kelas akan mengambil sedikit masa bagi mengenal pasti murid-murid yang mempunyai nama sama ini namun ia adalah satu kelainan memandangkan ketiga-tiga mereka mempunyai nama sama,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di SK Sena di sini mendapati, kebanyakan murid khususnya tahun satu bersemangat dengan hadir awal ke sekolah bersama ibu bapa masing-masing.
Mengulas mengenai sesi pembukaan sekolah pada tahun ini, Azhar berkata, dianggarkan seramai 140 murid tahun satu mendaftar di sekolah berkenaan dengan membabitkan sebanyak empat buah kelas.
Katanya, proses bagi sesi pembukaan sekolah itu juga berjalan lancar di mana setiap murid turut hadir awal dengan semangat baharu.
“Tinjauan saya di sekolah juga mendapati murid-murid tidak menghadapi sebarang kesulitan dan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu Azhar berkata, pada minggu pertama ini, murid-murid akan didedahkan kepada sesi suai kenal bagi membolehkan mereka memahami persekitaran sekolah di samping membina hubungan antara rakan-rakan dan guru.
Tambahnya, langkah itu adalah bagi membolehkan setiap murid menyesuaikan diri dengan persekitaran kelas agar mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah.
“Pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan guru yang terlibat dalam menjayakan sesi pembukaan sekolah kali ini,” katanya. – UTUSAN









