Terumbu karang perairanTerengganu terancam

Terumbu karang perairanTerengganu terancam

PASUKAN saintis marin UMT giat menjalankan pelbagai kajian penyelidikan untuk mengatasi ancaman kemusnahan terumbu karang di perairan Malaysia. - IHSAN TAN CHUN HONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keindahan terumbu karang berwarna-warni dan memiliki pelbagai bentuk menarik di negara ini khususnya di perairan Terengganu semakin terancam disebabkan pemanasan global, pencemaran dan faktor aktiviti manusia.

Pakar penyelidik Terumbu Karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong berkata, data terkumpul daripada kajian jangka masa panjang Jabatan Perikanan Malaysia dan Reef Check Malaysia menunjukkan berlakunya trend penurunan litupan batu karang dalam tempoh 10 tahun lepas.

Menurutnya, trend penurunan litupan terumbu karang yang berterusan terutamanya dari 2013 hingga 2019 dengan kadar purata susutan 1.1 peratus setiap tahun perlu dipulihkan dengan segera.

Katanya, antara punca yang mendorong berlakunya kemusnahan terumbu karang adalah disebabkan peningkatan suhu air laut global berpunca daripada peningkatan suhu dunia.

“Terumbu karang juga berisiko patah dan musnah apabila dilanda ombak yang kuat ketika musim Monsun Timur Laut antara November hingga Mac pada setiap tahun.

“Meskipun ia mampu pulih seperti sedia kala, namun proses itu tetap mengambil masa yang agak lama dan tahap kemusnahan juga bergantung kepada tenaga kekuatan ombak yang berbeza pada setiap musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di UMT di sini, baru-baru ini.

Ketika ini, kebanyakan pulau-pulau peranginan di Terengganu mempunyai kepelbagaian spesies terumbu karang yang unik dan berbeza seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong dan Pulau Kapas.

Ia antara tarikan utama pelancong ke Terengganu untuk menikmati pengalaman istimewa di dasar laut, selain menghayati keindahan aset khazanah berharga itu.

Mengulas lanjut, Chun Hong berkata, aktiviti manusia juga dikenal pasti sebagai antara punca berlakunya kemusnahan terumbu karang contohnya pencemaran yang disebabkan oleh pembuangan sisa kumbahan dari hotel, resort, chalet dan penempatan penduduk di pulau-pulau berdekatan.

Menurutnya, selain itu, sisa-sisa toksik daripada sektor perindustrian, perkilangan dan pertanian yang terletak berdekatan sungai dan pantai serta pembuangan sisa minyak dari kapal-kapal di sekitar Laut China Selatan juga memburukkan lagi keadaan di lautan.

“Terumbu karang memerlukan cahaya matahari untuk hidup membesar dengan sihat, namun pencemaran dan tumpahan minyak ini akan menyebabkan ia mati kerana tidak mendapat cahaya matahari secukupnya.

“Selain itu, aktiviti selam skuba dan selam snorkel dalam kalangan pelancong yang tidak terkawal di kawasan terumbu karang turut menyumbang kepada kemusnahan spesies marin itu kerana ada segelintir pelancong tidak bertanggungjawab menyentuhnya sedangkan ia tidak boleh dilakukan.

“Malah, sikap sesetengah nelayan yang sengaja meninggalkan pukat hanyut di lautan juga sangat berbahaya untuk terumbu karang kerana ia menutup struktur spesies tersebut hingga tidak mempunyai ruang untuk proses tumbesaran yang sepatutnya,” katanya lagi.

Chun Hong menambah, sebagai sebuah universiti yang berteraskan sains kelautan, UMT ketika ini giat menjalankan pelbagai kajian untuk melakukan usaha konservasi spesies marin terancam itu.

Tambahnya, satu ketika dahulu, terdapat 572 spesies terumbu karang berada di perairan Malaysia, namun daripada jumlah itu, sebanyak 25 peratus kini dikategorikan sebagai sangat terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

“Pelbagai kajian telah dijalankan oleh UMT untuk program restorasi ini dengan projek terbaharu pada tahun lepas adalah pembenihan terumbu karang yang disenyawakan secara ‘ex situ’ di daratan.

“Setakat ini, sebanyak 600,000 benih terumbu karang telah dilepaskan ke perairan Pulau Bidong dan program ini sentiasa diteruskan dari masa ke semasa.

“Projek pembenihan terumbu karang itu turut dilakukan oleh beberapa negara lain bagi meningkatkan kadar litupan terumbu karang seperti di Australia Great Barrier Reef dan Pulau Curaçao di Laut Caribbean yang telah menunjukkan peningkatan agak memberangsangkan setakat ini.

Ditanya berapa lamakah tempoh diperlukan untuk melihat kejayaan program tersebut, beliau berkata, bagi kawasan yang kurang tumpuan pelancong, jangkaan masa untuk memulihkan kadar litupan terumbu karang ialah antara lima hingga 10 tahun.

Katanya, projek pembenihan seumpama itu memerlukan masa, tenaga, dan kos yang tinggi untuk dilaksanakan di lebih banyak kawasan terjejas.

“Oleh itu, UMT sangat memerlukan sokongan daripada sukarelawan dan pemberi dana terutama syarikat korporat untuk memperluaskannya dengan skala lebih besar di seluruh Malaysia.

“Pada masa sama, kita perlukan sokongan komuniti tempatan terutama di pulau-pulau peranginan seperti pemandu bot dan pemandu pelancong agar mereka memberi penerangan yang betul mengenai tatacara ketika berada di bawah laut untuk aktiviti seperti selam skuba dan selam snorkel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN