PETALING JAYA: Amalan rasuah akan terus berlaku dan tidak akan ada kesudahannya jika Akta Pendanaan Politik tidak digubal dan dikuatkuasakan dengan segera bagi memastikan sumber kewangan diperoleh semua parti politik di negara ini bukan daripada saluran haram.
Walaupun sudah ada peruntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan, ada individu cuba melepaskan diri dengan mengatakan sumbangan diterima bukan satu bentuk rasuah, sebaliknya adalah sumbangan politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, wujud pihak tertentu dilihat cuba ‘menghalalkan’ rasuah dengan mendakwa sumbangan diterima sama ada melibatkan individu atau parti bukannya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi kepada rakyat.
ALASAN
Jelasnya, tindakan itu secara tidak langsung menyebabkan amalan salah guna kuasa masih berlaku sehingga kini malah terdapat segelintir pasukan pembelaan menggunakan alasan sumbangan politik sewaktu hujahan mahkamah semata-mata agar anak guamnya dilepaskan daripada tuduhan rasuah.
“Meskipun kita mempunyai undang-undang Akta SPRM, derma politik ada digunakan sebagai helah untuk menunjukkan wujudnya keraguan munasabah dalam satu-satu pertuduhan mahkamah agar dilepas dan dibebaskan.
“Jika ini berterusan, maka amalan rasuah tidak menemukan jalan kesudahan. Tidak boleh tidak, maka Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan untuk mengawal selia sumbangan politik di samping memastikan sumber kewangan diperoleh daripada mekanisme yang sah,” katanya.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa undang-undang itu disegerakan khususnya setelah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM230 juta.
Selain Muhyiddin, terdapat beberapa pemimpin politik juga dihadapkan atas tuduhan menerima rasuah daripada syarikat ketika memegang jawatan penting kerajaan.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan Akta Pendanaan Politik tetap diberi perhatian kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk perbincangan semua wakil parti politik.
KEMPEN
Mohamed Haniff Khatri menegaskan, sudah menjadi keutamaan agar akta itu dapat digubal pada masa terdekat khususnya menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bagi mengelakkan pihak tertentu menggunakan sumbangan politik ketika berkempen.
Jelasnya, polemik pendakwaan politik juga tidak akan kesudahan selagi undang-undang bagi mengawal derma politik tidak dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.
“Jalan penyelesaiannya adalah segera wujud Akta Pendanaan Politik untuk mengekang penerimaan wang haram untuk aktiviti parti politik,” katanya.

MUZAFFAR SYAH MALLOW
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, sampai bila semua pihak perlu berbincang mengenai akta itu sedangkan cadangan mewujudkannya sudah pun dibangkitkan bertahun- tahun sebelum ini.
Katanya, sehingga kini kewujudan akta terbabit masih dalam proses perbincangan meskipun pihak termasuk dalam kalangan ahli politik telah menyatakan hasrat mereka menyokong usaha kewujudannya.
“Pelaksanaan akta khusus berkaitan dengan dana politik ini perlu menjadi fokus utama oleh semua ahli Parlimen kita.
“Pokoknya, perlu ada peruntukan undang-undang bagi mewajibkan parti politik mengisytiharkan sumber dana diterima masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.
“Sekali gus dapat menghentikan sebarang persepsi negatif orang ramai terhadap semua sumber dana yang diperoleh oleh parti-parti politik dalam negara kita,” katanya. – UTUSAN










