Sultan Johor kecewa, gesa rizab Orang Asli di bawah ‘Sultanate Land’ - Utusan Malaysia

Sultan Johor kecewa, gesa rizab Orang Asli di bawah ‘Sultanate Land’

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR menitahkan pihak berkuasa memantau penerokaan hutan simpan oleh Orang Asli supaya tidak dijadikan ladang getah dan kelapa sawit kerana tindakan itu merupakan suatu kesalahan walaupun hak mereka terlindung dalam perlembagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kecewaan baginda apabila ada segelintir Orang Asli yang membuka kawasan hutan simpan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Baginda percaya ada orang luar yang menjadi dalang dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.

“Malah, ada juga yang cuba menuntut ‘kawasan rayau’ yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau.

“Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah dan 

Orang Asli juga tidak terkecuali,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri  (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sultan Johor bertitah, sejak  dahulu kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka. 

Kerajaan juga telah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka, titah baginda.

“Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar. Saya mengesa kepada kerajaan supaya meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah ‘sultanate land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati. 

Dalam pada itu, baginda turut menitahkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membenarkan pemaju meratakan permukaan tanah sepenuhnya ketika membuat pembangunan di kawasan berbukit atau tanah tinggi.

“Ia perlu dikawal dan dilakukan secara minimum dan saya harap semua Datuk Bandar dan Yang  Dipertua akan selidik dahulu betul-betul sebelum meluluskan semua pelan kerja tanah. Ingin saya ingatkan kepada semua PBT supaya memastikan pembangunan di kawasan berbukit atau tanah tinggi mengekalkan bentuk muka bumi serta topografi asal seberapa boleh,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut menggesa semua PBT tidak meluluskan kebenaran merancang (KM), jika pemaju tidak menyediakan laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal dalam pelan mereka.

“Highway (lebuhraya) bukan untuk berbasikal,” titah baginda sambil menyahut baik cadangan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Zon Khas Kewangan di kawasan Iskandar Malaysia bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN