Sukar lupa peristiwa ketua platun ditembak di dahi - Utusan Malaysia

Sukar lupa peristiwa ketua platun ditembak di dahi

ABD. Khalid Othman menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohammad Noh pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejadian melihat ketua platun sendiri maut ditembak komunis di dahi merupakan pengalaman yang masih segar dalam ingatan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang telah berkhidmat sepanjang 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohammad Noh Mansor, 73, berkata, peristiwa itu berlaku sekitar tahun 1970-an di Sungai Batang Rajang, Sarikei, Sarawak ketika beliau bertugas sebagai anggota platun sedang berehat di kawasan hutan sebelum diserang hendap oleh Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

“Tidak sangka peristiwa yang berlaku di depan mata ini sukar dilupakan apabila saya tiba-tiba terdengar bunyi tembakan kemudian dapati Ketua Platun yang dikenali sebagai Sarjan Lee telah rebah.

“Ketika itu saya berada pada jarak empat meter darinya, saya dapat lihat tembakan pada dahinya dengan darah mencurah-curah keluar di belakang kepala,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohammad Noh menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Negeri Sembilan atas sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan.

Sijil tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman.

Mohammad Noh, yang kini merupakan Exco Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM (PB Skuad 69) menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa menghargai jasa bekas polis yang berjuang menentang musuh meskipun sudah lama bersara. 

“Kepada anak muda, hargailah keamanan dan keharmonian yang kita kecapi kini. Jangan sesekali lalai kerana musuh akan mengambil kesempatan sama ada secara fizikal atau mental,” katanya yang bersara pada 2005 sebagai Lans Koperal di IPK Seremban.

Dalam pada itu, Kelab Media Negeri Sembilan (Manis) turut menerima sijil penghargaan yang diwakili Pengerusi, Afifi Hafiz Mohd. Nor.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.