SPRM teliti dokumen sukuk RM596 juta - Utusan Malaysia

SPRM teliti dokumen sukuk RM596 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam peringkat penelitian beberapa dokumen membabitkan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta melibatkan sebuah syarikat yang dilantik melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan SPRM itu adalah lanjutan daripada kes projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang disiasat agensi itu melibatkan KDN sebelum ini.

Kata sumber itu, siasatan tertumpu kepada kemungkinan berlaku ketirisan ketika sukuk itu diwujudkan dalam mengumpul dana membabitkan projek yang dijalankan.

“Jadi, SPRM kini sedang meneliti kontrak pelaksanaan projek oleh syarikat itu selain pembayaran dibuat oleh bank kepada pelabur-pelabur sama ada sukuk ini digunakan untuk pembiayaan projek itu atau sebaliknya.

“Siasatan SPRM berhubung ketirisan masih di peringkat awal iaitu 15 sehingga 20 peratus,” kata sumber.
Dalam pada itu, sumber berkenaan juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu termasuk pegawai di KDN bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM berjaya mem­bongkar penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta untuk melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian kerajaan.

Susulan itu, empat individu termasuk seorang pengarah, ketua pegawai kewangan dan seorang pemegang saham ditahan SPRM.

Sukuk bernilai tinggi itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan serta hasil projek itu perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas.

Bagaimanapun, akaun khas itu ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022 disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang sukuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×