PETALING JAYA: Pasaran buruh di Malaysia didominasi oleh tenaga kerja berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah yang mana trend ini sudah berlarutan sejak 2002.
Fenomena ini mencetuskan kebimbangan Malaysia kekurangan tenaga kerja mahir dan secara tidak langsung menjejaskan masa depan negara menuju status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030.
Berdasarkan, Survei Tenaga Buruh Malaysia 2021, jumlah tenaga kerja lulusan SPM meningkat sejak 19 tahun lalu iaitu daripada 2.9 juta pada 2002 kepada 6.7 juta tahun lalu berbanding lepasan lain seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seramai 738,200, sijil daripada pelbagai institusi 299,999, diploma sebanyak 1.4 juta manakala ijazah 2.3 juta orang.
Pada tahun 2021, daripada jumlah 15 juta tenaga kerja di seluruh negara, 9.1 juta atau 60 peratus didominasi lulusan SPM dan ke bawah termasuk 1.1 juta membabitkan lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau setaraf dan 1.3 juta berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Faktor utama yang mempengaruhi mereka memilih untuk bekerja adalah terpengaruh dengan persepsi belajar tinggi tidak menjamin masa depan, selain beranggapan perlu menanggung hutang untuk melanjutkan pengajian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, ramai juga memilih untuk bekerja atas faktor ketidakmampuan, sekali gus menyebabkan jumlah tenaga buruh yang dikuasai oleh kumpulan tersebut semakin hari semakin bertambah.
PELUANG
“Mereka seperti tiada pilihan dan perlu mencari peluang pekerjaan selepas tamat persekolahan kerana mahu mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan dan menanggung keluarga.
“Kebanyakan lepasan SPM dikesan bekerja sebagai penghantar makanan, kerani, pekerja kilang dan pembantu restoran,’’ katanya.
Beliau berkata, selain itu, peluang terhad di peringkat institusi pengajian tinggi turut mempengaruhi lepasan SPM dengan keputusan yang kurang cemerlang mencari peluang kerjaya di pasaran sesuai dengan kelayakan mereka.
“Ada juga lulusan SPM ini dalam kalangan keluarga miskin, maka terpaksa melepaskan hasrat menyambung pengajian walaupun ada kelayakan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Effendy berkata, sekiranya trend pelajar bekerja sebelum tiba masa bekerja tidak ditangani dengan baik, sasaran Malaysia untuk menjadi negara Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) menjelang 2030 akan gagal kerana berlaku kekurangan pekerja berkemahiran tinggi.
“Seiring menuju sebuah negara maju, kita amat memerlukan tenaga kerja berkemahiran apatah lagi era globalisasi yang kian mencabar di seluruh dunia dan sejajar sasaran negara berpendapatan tinggi, ini menuntut pekerja memiliki kelayakan seiring pencapaian akademik masing-masing,” ujarnya.
TREND
Oleh itu, kata beliau, kerajaan perlu memperhalusi trend lepasan SPM memasuki alam pekerjaan bagi meningkatkan kemahiran dan kelulusan daripada sekadar SPM kepada tahap lebih tinggi termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mohd. Effendy berkata, buat masa ini, hanya TVET dilihat boleh mengubah nasib pekerja kurang kemahiran dan tidak kemahiran lepasan SPM tersebut agar mereka mampu meningkatkan lagi kemahiran diri masing-masing.
“Menerusi TVET itu juga kalangan lepasan SPM itu boleh menjalani latihan semula atau reskilling and upskilling dengan tumpuan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan yang mendapat permintaan.
“Lepasan SPM tidak memiliki kelayakan akademik mencukupi tetapi jika kerajaan mampu menarik kumpulan tersebut melibatkan diri dalam TVET sudah tentu mereka memiliki kepakaran dalam bidang tertentu dan akhirnya berupaya memperoleh pendapatan yang lebih lumayan dan terjamin,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, trend sekarang ramai pelajar mahu cepat merebut peluang kerja yang menjanjikan pendapatan berbanding berbanding memilih menyambung pengajian.
Menurut beliau, trend tersebut semakin meningkat kerana ia dipengaruhi tekanan ekonomi masa kini yang memerlukan mereka mencari pendapatan dan menyara diri dan keluarga. – UTUSAN










