Silibus universiti mesti selari industri

Silibus universiti mesti selari industri

MAJIKANmementingkan kebolehan pekerja baharu untuk berfikir secara kritikal dan kesediaan untuk mempelajari tugasan baharu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Silibus pengajian di universiti mesti selari dengan keperluan industri agar gaduan kekal relevan dengan kehendak pasaran kerja.

Pada masa ini universiti masih menggunakan silibus serta latihan industri yang agak ketinggalan terutamanya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sehingga menyukarkan mahasiswa mendapatkan tempat menjalani latihan praktikal dan pekerjaan yang sesuai.

Kebanyakan universiti swasta telahpun melaksanakan pendekatan tersebut termasuk membawa masuk pemain-pemain industri menjadi tenaga pengajar jemputan menjadikan pembelajaran lebih realistik dan tidak bergantung kepada pengajaran teori semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pensyarah juga harus menjalani latihan industri beberapa tahun sekali supaya mereka tidak mengajar setakat teori sahaja.

“Dengan mereka memasuki semula ke kuliah, mereka boleh lebih fokus dengan matlamat dan hala tuju mereka di samping bertanya soalan yang berkaitan dengan industri kepada pensyarah.

“Tidak perlu tunggu untuk mahasiswa habiskan semester, baru menjalani latihan industri, ini tidak begitu membantu mereka di alam pekerjaan nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Muhammad Danial Alimin mendedahkan kira-kira 40,000 pelajar IPT sukar mendapat tempat untuk praktikal sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian mereka.

Ini kerana tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian mereka, majikan enggan membayar elaun dan menolak untuk menerima siswa bagi tempoh yang pendek.

Perkara itu sering dihadapi oleh pelajar dalam bidang seperti kaunseling, sains dan teknologi yang jumlah kekosongan untuk menjalani latihan industri kecil serta tempoh latihan ditetapkan IPT yang pendek iaitu sekitar tiga hingga empat bulan dikatakan tidak menguntungkan syarikat.

Malah, sekiranya pelajar gagal mendapatkan tempat untuk menjalani latihan industri, penyelaras (wakil pensyarah) bagi setiap kumpulan pelajar akan memasukkan pelajar ke syarikat-syarikat tertentu, di mana kadang-kala tidak menepati minat mahasiswa.

Dalam pada itu, Ahmad Martadha berkata, setiap fakulti wajib mempunyai pensyarah yang masih berada di industri supaya mereka mampu berkongsi mengenai perubahan dan kehendak semasa industri, sebagai contoh, peguam itu sendiri mengajar satu subjek bagi fakulti undang-undang.

“Kebanyakan universiti swasta sudah mula melaksanakan perkara ini iaitu pemain industri itu sendiri mengajar pengalaman mereka tetapi universiti awam masih belum menerapkan konsep ini mungkin disebabkan banyak birokrasi harus diikuti.

“Universiti harus mempunyai hubungan yang erat dengan industri di mana kita boleh membawa industri ke fakulti supaya mahasiswa dapat melihat dan mempelajari dengan lebih mendalam kepentingan dan kemahuan industri semasa,” katanya.

Ahmad Martadha berkata, masih terdapat sesetengah kursus sarjana ijazah muda yang tidak bersesuaian dengan kehendak industri terkini tetapi universiti awam masih belum melakukan perubahan.

“Diharapkan kursus-kursus di universiti awam dikaji semula dan dilakukan perubahan supaya mahasiswa tidak ketinggalan selepas menghabiskan pengajian mereka.

“Kurikulum universiti awam juga tidak begitu relevan serta terdapat subjek yang kurang bersesuaian dengan peredaran semasa, jadi harus dilihat semula kesesuaiannya.

“Pada masa yang sama, ramai berpendapat latihan industri harus dipanjangkan tetapi saya berpendapat perkara ini akan membebankan segelintir mahasiswa kerana kos sara hidup semakin tinggi dan elaun yang ditawarkan oleh kebanyakkan syarikat adalah sekadar cukup makan sahaja.

“Diharapkan perkara ini dapat dilaksanakan untuk membantu graduan baru mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah serta kekal relevan dengan industri semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, proses pengemas kini silibus hanya boleh dilakukan dalam tempoh minimum empat tahun setelah satu kohort bergraduasi.

Jelas beliau,di peringkat universiti, perubahan kepada silibus boleh dilakukan dengan maksimum 30 peratus kandungan silibus.

“Ini memberi ruang kepada pensyarah untuk memastikan ilmu dan kemahiran yang diberikan kepada pelajar pendidikan masih relevan dengan keperluan dan kehendak semasa dalam bidang Pendidikan.

“Oleh itu, kaedah pengajaran dan penilaian pelajar pendidikan sentiasa dinamik dan disesuaikan dengan keadaan semasa seperti pentaksiran secara autentik dan secara alternatif sentiasa dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, tiada timbul isu slilibus tidak bersesuaian kerana sudah dirangka kepada pelajar dan sentiasa disemak serta dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan input daripada pihak industri dan pemegang taruh.

Di peringkat universiti penekanan kepada kemahiran insaniah sentiasa dititikberatkan supaya pelajar dapat mengadaptasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam mendepani cabaran di alam pekerjaan,” kata Ahmad Fauzi.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, pelajar juga diberikan pendedahan awal menerusi aktiviti yang dijalankan dalam kursus yang melibatkan industri, seperti lawatan, perkongsian pengalaman daripada pihak industri dan tugasan yang berkaitan kerjaya dalam bidang yang dipelajari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini