PETALING JAYA: Bukan hanya ahli parlimen pembangkang disiasat berhubung isu rasuah tetapi siasatan sama turut membabitkan wakil rakyat blok kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mengetahui jawatan ahli parlimen yang disiasat.
Menurut beliau, selepas siasatan, ia terserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan ke atas ahli politik berkenaan atau sebaliknya.
“Saya tidak tahu khusus, tetapi saya dimaklumkan memang ada siasatan melibatkan blok pembangkang dan kerajaan. Saya tidak tahu jawatannya dan sebagainya, bila tahu soalan ini saya hanya bertanya kepada pihak penguatkuasaan, mereka sahkan memang ada siasatan,” kata beliau ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat semalam.
Perdana Menteri menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang bertanyakan sama ada terdapat ahli parlimen kerajaan juga disiasat selain pemimpin pembangkang berhubung isu rasuah.
Mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Anwar berkata, ia memberi implikasi kewangan sebanyak RM300 juta tetapi kerajaan akan mempertimbangkan bagi memastikan proses pendakwaan lebih telus dan bebas.
“Cadangan dalam kajian, ada cadangan memisahkan agak rumit dan mengambil masa. Pada prinsipnya, ramai setuju dipisahkan,” kata beliau.
Anwar menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang meminta perkembangan usaha pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan yakin 130,000 ketua isi rumah miskin tegar dapat ditangani pada tahun ini menerusi beberapa langkah drastik termasuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Menurut beliau, setakat 15 Mac, sebanyak 123,243 ketua isi rumah miskin tegar sudah dikenal pasti untuk dibantu dengan beberapa langkah. – UTUSAN










