Semuanya kerana duit – Shafie

Semuanya kerana duit – Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) tetap dengan pendirian bahawa apa jua alasan yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) yang keluar parti dan menyokong kerajaan negeri Sabah, ia sebenarnya adalah disebabkan wang ringgit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, wakil-wakil rakyat negeri itu tidak akan keluar parti dan beralih sokongan jika bukan tawaran sebagai punca utama.

Ahli Parlimen Semporna itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus nama pemimpin-pemimpin yang ditawar wang ringgit oleh pihak tertentu.

“Ingat mereka yang keluar parti itu bukan pasal duitkah?,” soalnya ketika ditemui di ruang legar Parlimen di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaannya sebelum ini di Dewan Rakyat bahawa ADUN Warisan dibeli pihak tertentu supaya keluar parti.

Semasa Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat bulan lalu, Mohd. Shafie tetap dengan pendiriannya bahawa tiga ADUN sebelum ini yang keluar parti dan menyokong GRS kerana ‘dibeli’ pihak luar.

Beliau meneruskan dakwaan bahawa ADUN berkenaan diberi projek bernilai RM3 juta.

Seorang lagi ADUN Warisan, George Hiew Vun Zin (Karamun­ting) baru-baru ini mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), salah satu parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri.

Vun Zin menyusuli tindakan tiga bekas ADUN Warisan bulan lalu yang telah keluar parti iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor). Bagaimanapun, kesemua mereka telah menafikan dakwaan itu.

Vun Zin pula dilaporkan membuat keputusan itu kerana rakyat sudah tidak mahu melihat ke­adaan politik tidak stabil yang menyebabkan perkembangan ekonomi dan kemajuan Sabah terbantut.

Beliau menang kerusi DUN Karamunting atas tiket Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020. Warisan kini memiliki 14 ADUN.

Sebelum ini, enam ADUN Wa­risan telah bertindak keluar dari parti dan menyertai parti lain iaitu Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN