KANGAR: “Saya ada satu permohonan, saya nak ziarah kubur bini (isteri) saya,” minta tertuduh Mohammad Nizarman Hassim, 27, selepas mahkamah mengarahkan anggota polis berpangkat lans koperal itu menjalani pemeriksaan mental sebelum didakwa atas pertuduhan menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, pada awal Mac lalu.
Dia didengar meminta kebenaran untuk menziarahi pusara isterinya itu sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.
Tertuduh yang memakai baju berwarna merah dan tidak diwakili peguam juga dilihat beberapa kali mengesatkan air mata sewaktu pertuduhan dibacakan ke atasnya semalam.
Sebelum itu, Majistret Ana Rozana Mohd. Nor membuat keputusan dengan tertuduh perlu menjalani penilaian pemeriksaan di hospital mental selama satu bulan.
Permohonan bagi perintah itu dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan negeri, Mohd Nordin Ismail.
Di samping itu, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 April depan bagi sebutan semula kes tersebut.
KESALAHAN
Mengikut kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa, tertuduh telah melakukan kesalahan itu pada 5 Mac lalu antara pukul 6.45 pagi sehingga 8.50 pagi di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan apabila bertindak membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh, 27, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai penahanan seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang dipercayai menembak isterinya dengan melepaskan lebih daripada lima das tembakan pada jarak dekat di bahagian muka menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Kejadian berlaku selepas suspek yang berasal dari Setiu, Terengganu itu baharu sahaja tamat syif tugasannya sebelum tragedi itu berlaku.
Suspek juga dikatakan tidak menunjukkan sebarang masalah atau perlakuan pelik selain sempat minum bersama isterinya di dapur sebelum kejadian itu.
Susulan itu, suspek telah direman bermula pada 6 Mac sehingga 17 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan.- UTUSAN










