Rugi besar cili musnah

Rugi besar cili musnah

POKOK cili Baharudin Aman di Kampung Contoh, Kahang ditenggelami air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Dua pengusaha cili di Kahang dan Simpang Renggam, dekat sini berputih mata menanggung kerugian besar apabila tanaman mereka musnah akibat banjir.

Baharudin Aman, 54, yang menetap di Kampung Contoh, Kahang berkata, dua kali dilanda banjir dalam tempoh sebulan menyebabkannya tidak dapat menuai hasil selepas kira-kira 3,000 pokok cili sentil yang diusahakan ditenggelami air.

Katanya, mesin mengepam air turut rosak manakala baja tidak dapat digunakan kerana sudah terlarut dalam air banjir.

“Banjir kali pertama pada Januari lalu turut menghanyutkan sebahagian pokok cili sentil yang hanya menunggu masa untuk dituai buahnya, manakala banjir yang bermula 1 Mac lalu menenggelamkan keseluruhan pokok cili dan tidak dapat diselamatkan akibat air melepasi paras dada di kawasan kebun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dia menganggarkan mengalami kerugian hampir RM20,000 dan untuk menanam semula tanaman cili tersebut memerlukan modal sekurang-kurangnya RM10,000 apatah lagi Ramadan dan sesi persekolahan baharu bakal menjelang tidak lama lagi.

Seorang lagi pengusaha cili dan terung di Kampung Ithnin Maarof di Simpang Renggam, Bachik Pait, 57, turut menanggung rugi selepas hampir 1,000 pokok terendam hampir seminggu dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Sekiranya pokok cili dan terung mati, saya perlu tanam semula yang mencecah kos hampir RM5,000 tidak termasuk baja selain pengurusan lain berkaitan kebun cili ini,” katanya.

Susulan itu, Baharudin dan Bachik berharap pihak berkaitan dapat membantu mereka memulakan semula tanaman cili sentil yang diusahakan sejak 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN