Rombak garis kemiskinan

Rombak garis kemiskinan

AHLI-ahli ekonomi berpandangan kayu ukur garis kemiskinan yang diguna pakai sekarang tidak lagi relevan dengan perubahan semasa pendapatan isi rumah dan kesan kenaikan kos sara hidup. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran merombak cara lama me­ngu­kur garis kemiskinan mutlak kepada agihan mengikut jumlah isi rumah dan wilayah se­bagai petunjuk membasmi masalah sosial itu secara menyeluruh.

Buat masa ini, kaedah mengukur garis kemiskinan dilakukan secara sama rata di seluruh negara mengikut kadar semasa iaitu RM2,208 bagi isi rumah dan bagi miskin tegar RM1,169 bagi setiap isi rumah meskipun setiap keluarga mempunyai kedudukan kemampuan berbeza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjelaskan, PGK dan miskin tegar juga perlu memperlihatkan perbezaan antara bandar dan luar bandar, kepelbagaian negeri dan wilayah yang pastinya masing-masing mempunyai kadar berbeza antara satu sama lain.

Justeru, beliau berpandangan satu pengiraan kadar garis kemiskinan yang baharu bukan sahaja diselaraskan mengikut takrifan agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi juga merangkumi faktor sosio-ekonomi tempatan seperti latar belakang kaum, tahap pendidikan dan akses fasiliti kesihatan.

“Misalnya ada masyarakat luar bandar mempunyai tanah sendiri dan sumber makanan semula jadi, tetapi tidak mempunyai wang tunai akhirnya mempunyai kuasa beli yang rendah. Berbanding bandar mempunyai pendapatan sederhana tetapi hanya mampu menyewa dan tidak mampu memiliki hartanah mewah, selagi masih bekerja maka tidak menjadi masalah tetapi jika sudah meningkat umur, bagaimanakah mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Selain itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan miskin tegar kota besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru pasti berbeza dan lebih tinggi daripada kadar luar bandar seperti Sabah, Perlis, Kedah dan Kelantan yang mempunyai taburan penduduk lebih berselerak berbanding di bandar raya tertumpu pada kawasan padat,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Kementerian Eko­nomi bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang mengkaji dan meneliti kaedah pengukuran baharu bagi menggantikan PGK bagi mengukur kemiskinan mutlak.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali pula berpandangan, kerajaan mungkin perlu melihat had kecukupan pendapatan dengan melihat jumlah anggota isi rumah bagi menilai semula kaedah terbaharu garis kemiskinan.

Katanya, mekanisme seumpama itu digunapakai majlis agama Islam negeri (MAIN) untuk menentukan kadar agihan zakat bagi memastikan penyaluran bantuan seimbang antara keperluan golongan benar-benar memerlukan.

“Ada isi rumah ada dua anak, tetapi ada isi rumah ada lima anak. Namun jika ikut kaedah purata bagi setiap keluarga, ia dilihat tidak seimbang antara setiap isi rumah.

Namun klasifikasi PGK perlu melihat dalam soal ini,” katanya.

Menurutnya, usaha pengelasan garis kemiskinan memerlukan banyak tugas untuk agensi kerajaan turun pandang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN