[DUN] RMMJ boleh disewa, dijual - Jafni - Utusan Malaysia

[DUN] RMMJ boleh disewa, dijual – Jafni

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR menghadiri sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemilik Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dibangunkan kerajaan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri dibenarkan untuk disewa atau dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ini  kerana RMMJ merupakan kediaman yang memberi pemilikan kepada pembeli.

Menurutnya, dasar lama membenarkan RMMJ dijual kepada pihak ketiga selepas lima tahun, manakala dasar baharu adalah selepas 10 tahun.

“Tidak timbul isu RMMJ dijual kepada pihak ketiga, tetapi perlu melihat sama ada ia menggunakan dasar lama atau dasar baharu, dengan dasar baharu ini baru bermula 1 Januari lalu. Ini bermakna rumah RMMJ kategori A, B, dan C dibenarkan untuk dijual kepada pihak ketiga selepas tamat tempoh minimum pemilikan yang disyaratkan, sama ada lima atau 10 tahun.

“Jika ada cubaan untuk menjual unit RMMJ sebelum tempohnya, Pejabat Tanah boleh menghalang urus niaga itu ‘legally’, iaitu pertukaran nama di dalam geran tidak boleh dibuat,” jelasnya selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, isu melibatkan unit RMMJ disewakan juga tidak seharusnya menjadi isu kerana pemilik kediaman tersebut dibenarkan untuk berbuat demikian.

“Sewa sebenarnya boleh, yang tidak boleh sewa adalah rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) dan juga RSK (Rumah Sewa Kerajaan), dua jenis kediaman ini memang tidak dibenarkan untuk disewa kepada pihak ketiga.

“Kerajaan negeri juga telah memulakan operasi pemeriksaan sejak tahun lepas untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang menyalahgunakan kemudahan tersebut. Mereka boleh diarahkan untuk keluar daripada kediaman itu,” katanya sambil memberitahu kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 21,000 unit RMMJ dalam tempoh lima tahun bermula tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga sedia bekerjasama dengan pemaju projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai sakit dan terbengkalai bagi membela nasib pembeli hartanah berkenaan.

Menurutnya, setakat ini terdapat sebanyak 33 projek dikategorikan sakit, manakala lapan projek terbengkalai di negeri ini, namun projek berkenaan di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Tetapi jika ada pemaju projek sakit nak minta bantuan, kita alu-alukan sebab kita ada Jawatankuasa Penilaian Semula Rekaan dan Perancangan Projek (PDRC),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya