Rangkaian rel dari Malaysia hingga ke China – Loke - Utusan Malaysia

Rangkaian rel dari Malaysia hingga ke China – Loke

Anthony Loke Siew Fook merasmikan pelancaran operasi kereta api yang membawa kontena atau kargo oleh COSCO Shipping Lines di Platform 1, Stesen KTMB Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan merancang untuk membangunkan rangkaian rel yang mampu menghubungkan Malaysia dan China merentasi Thailand dan Laos.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, rangkaian rel itu mungkin bermula dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru sehingga ke Kunming.

Bagaimanapun, menurut beliau, kementerian memerlukan kerjasama kerajaan Laos dan Thailand untuk merealisasikan hasrat Malaysia mempunyai sistem pengangkutan rel sehingga ke China.

“Pembinaan rangkaian rel ini adalah mungkin dan saya menyeru China untuk membantu dari segi memudahkan hasrat ini.

“Dan diharapkan, China bo­l­eh memainkan peranan dalam membantu meyakinkan negara-negara lain seperti Laos dan Thailand, supaya satu hari nanti kita boleh mempunyai perkhid­matan kereta api yang lancar antara Asia Tenggara sehingga ke China,” kata beliau pada maj­lis pelancaran Perkhidmatan Kereta Api Laut pertama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dengan kerjasama Cosco Shipping Lines di sini semalam.

Dalam majlis itu, Anthony berkata, KTMB mencapai kejayaan luar biasa dalam sektor perkhidmatan barangan di Malaysia, menerusi KTM Kargo selepas bekerjasama dengan Cosco Shipping Lines, syarikat perkapalan yang beribu pejabat di Shanghai.

Menurut beliau, perkhidmatan itu menawarkan penyelesaian masalah pengangkutan laut yang lebih pantas dan ce­kap untuk pelanggan.

“Kerjasama baharu ini meng­­­­hubungkan titik pedalaman utama ke pelabuhan laut di seluruh wilayah semenanjung, menyediakan laluan perdaga­ngan yang stabil, lebih murah dan lebih mudah untuk bara­ngan import dan eksport,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN