PM jamin pelajar universiti bebas bersuara

PM jamin pelajar universiti bebas bersuara

ANWAR Ibrahim berdialog dengan lebih 8,000 anak muda dalam Dialog Anak Muda Temu Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelajar serta tenaga pengajar di universiti akan diberikan kebebasan bersuara walaupun Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak dihapuskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan perbinca­ngan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berhubung menggugurkan sebarang peruntukan yang menyusahkan pelajar dan tenaga pengajar.

“Kamu tahu asal usul AUKU? AUKU itu dilaksana oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk menghalang Anwar masuk universiti.

“Saya sudah bincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk pinda peruntukan yang menyekat kebebasan pelajar malah pensyarah-pensyarah juga,” jawabnya kepada soalan seorang pelajar universiti awam dalam program dialog anak muda Temu Anwar di sini, semalam.

Program tersebut diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Turut mengha­diri adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Dianggarkan lebih 8,000 anak muda menghadiri sesi dialog tersebut dan Anwar mene­rima pelbagai soalan termasuk isu pengangkutan awam, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), AUKU dan peluang pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk anak muda.

Sebelum ini Mohamed Kha­led berkata, kerajaan tidak bercadang memansuhkan Auku.

Beliau berkata, akta tersebut masih relevan terutama melibatkan urus tadbir universiti.

Mohamed Khaled berkata, proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjur memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Dalam pada itu, mengulas isu lambakan permohonan SPA, Anwar berkata, pelantikan menerusi badan itu terhad dan TVET merupakan antara jalan penyelesaian yang digalakkan oleh kerajaan.

Mengenai pengeluaran wang Kum­pulan Wang Simpanan Pe­kerja (KWSP), Anwar mengulangi pendiriannya untuk tidak membenarkannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN