PETALING JAYA: Konsep tiket Rahmah harus diperluaskan bukan sahaja kepada pelajar tetapi rakyat Malaysia secara umum yang pulang ke kampung halaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Pelindung Dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, ramai masyarakat yang berasal daripada Sabah dan Sarawak kini tinggal di Kuala Lumpur, mereka jarang pulang ke kampung halaman disebabkan kos tiket penerbangan yang agak tinggi.
“Kerajaan harus prihatin bagi membantu mereka dengan turut menawarkan tiket Rahmah bagi yang berasal daripada situ terutamanya di musim perayaan.
“Bagi keluarga yang ramai anggotanya juga harus dipertimbangkan untuk memberi diskaun sekiranya tiket dibeli secara jumlah yang banyak.
“Sudah tentu kerajaan tidak akan mampu untuk melaksanakan tiket murah bagi semua rakyat Malaysia, jadi masyarakat yang ke Sabah dan Sarawak bagi tujuan perniagaan atau pelancongan tidak akan mendapat manfaat tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi menyediakan inisiatif kepada pelajar menikmati harga tiket yang lebih murah ke Sabah dan Sarawak.
Menterinya Anthony Loke berkata, ketika ini Malaysia Airlines Bhd. (MAS) menyediakan program MHexplorer yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus daripada harga tiket penerbangan bagi pelajar yang layak.
Beliau berkata, kementerian berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dan tidak menghadkan kepada MAS sahaja untuk menawarkan tiket murah. – UTUSAN










